Berita

Dera kanak-kanak: Berapa ramai ibu-bapa pernah didakwa?

KUALA LUMPUR, 27 JAN: DAP Wanita menyambut baik penghapusan hukuman rotan di peringkat mahkamah ke atas kanak-kanak lelaki yang disabitkan dengan jenayah dan pada masa sama menggesa Kementerian Wanita mewujudkan perlindungan lebih baik terhadap kanak-kanak.

Menurut Setiausaha Wanita DAP Teo Nie Ching, perlindungan undang-undang perlu mengambil kira kes penderaan terhadap kanak-kanak yang melibatkan fizikal dan emosi.

“Wanita DAP mengambil maklum bahawa kejadian penderaan terhadap kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun.

“Pada tahun 2010, terdapat 3257 kes dilaporkan berhubung penderaan kanak-kanak yang kemudiannya meningkat kepada 3428, 3821 dan 4119 pada 2011, 2012 dan 2013.

“Tahun lalu pula, dari Januari hingga April terdapat 1430 kes. Amat keterlaluan jika hukuman diperketat tapi penguatkuasaan masih lemah dan tidak cekap,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dengan itu menggesa agar Kementerian Wanita mendedahkan terlebih dahulu berapa ramai ibu-bapa yang telah didakwa dan didapati bersalah atas kesalahan mendera.

Berkenaan penghapusan hukuman rotan yang dicadangkan, pada masa sekarang Seksyen 91(1)(g) Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan hukuman tidak lebih dari 10 sebatan ke atas kanak-kanak lelaki jika disabit dengan kesalahan jenayah.

Namun, Kementerian Wanita dua hari lalu menyatakan bahawa ada cadangan agar hukuman itu dihapuskan menerusi akta baru yang akan dicadang untuk menggantikan Akta Kanak-kanak 2001 agar undang-undang berkenaan lebih selari dengan prinsip-prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut menuntut Kementerian Wanita supaya menggesa kerajaan menyekat perkahwinan kanak-kanak.

Jelasnya, gesaan itu berikutan kerajaan sendiri telah menerima pakai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan perkahwinan awal dan paksa kanak-kanak pada Majlis Hak Asasi Manusia, Oktober 2013.

“Apabila Akta Kanak-Kanak dipinda, kementerian perlu memastikan ia mencerminkan niat dan segala janji-janji ditunaikan.

“Ini kerana kanak-kanak perempuan antara 10 dan 14 tahun menghadapi risiko lima kali lebih tinggi untuk mati semasa mengandung dan melahirkan, berbanding wanita berumur 20 hingga 24 tahun.

“Lebih dari itu, mereka juga cenderung untuk tidak menamatkan pengajian serta lebih terdedah kepada penderaan fizikal, seksual dan mental,” tegasnya. -Roketkini.com