Berita

ADUN Pasir Pinji cadang ‘town hall meeting’ Ipoh

Gambar: ADUN Pasir Pinji Howard Lee Chuan How bersama Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria melawat Pasar Pasir Pinji 

IPOH, 28 JAN: ADUN Pasir Pinji, Howard Lee mencadangkan Majlis Bandaraya Ipoh )MBI) mengadakan perjumpaan dewan bandar (town hall meeting) sebagai kaedah penglibatan awam bagi tujuan memperolehi dan memahami permasalahan penduduk setempat.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau mencadangkan pertemuan itu melibatkan orang awam dan bersifat jemputan terbuka, kerana langkah tersebut telah dijalankan kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara maju mahupun membangun.

“Saya berpendapat tiba masanya kerajaan negeri yang buat masa ini adalah pihak berkuasa kepada PBT, untuk memerintahkan supaya kaedah ini dilaksanakan kesemua PBT di Perak bagi membincangkan apa jua topik berkenaan dengan bidang kerja PBT.

“Saya menyarankan kepada Exco berkenaan untuk membuktikan kerajaan negeri benar-benar prihatin dan rela mendengar masalah rakyat, khususnya warga Ipoh,” kata Howard dalam kenyataannya hari ini.

Howard yang juga Setiausaha DAPSY Perak menyatakan, di samping penguatkuasaan dan peningkatan kesedaran sivik di kalangan warga Ipoh, kerja asas PBT seperti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tidak boleh diabai.

Ujar Howard, kewujudan sesebuah landasan bersuara bagi warga Ipoh seperti perjumpaan dewan bandar adalah langkah yang amat diperlukan demi memartabatkan demokrasi.

“Supaya MBI dapat mendengar suara akar umbi, dan mengetahui keadaan sebenar dari sudut pandangan penduduk. Langkah ini akan meningkatkan akauntabiliti semua pihak, malah berfungsi sebagai landasan komunikasi oleh PBT.

“Perjumpaan dewan bandar dengan kekerapan adalah sesuatu situasi menang-menang untuk semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu Howard bersama Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria melawat Pasar Pasir Pinji pagi ini bagi membincangkan cadangan penduduk dan peniaga berhubung kebolehlaksanaan, penjujukan rancangan, penempatan sementara, dan perkara berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MBI kerana sudi bersama melawat dan mengembangkan agenda penaikan taraf Pasar Pasir Pinji. – Roketkini.com