Rencana

Mahasiswa sebagai intelek dan rausyanfikir

Peristiwa Adam Adli menurunkan bendera Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak membuka lembaran politik baru kepada mahasiswa. Walaupun begitu, mahasiswa seperti tidak mampu mencerna sesuatu isu dengan tuntas apabila berhadapan dengan kehendak rakyat. Kesannya, lahir mahasiswa yang hanya menjadi pak turut yang terus keliru antara kehendak rakyat dan ahli politik.

Seorang mahasiswa perlu menyokong, melihat, mendengar, memahami rintihan-rintihan rakyat. Jika ada yang mengatakan, ‘bukan semua pemimpin datangnya daripada mahasiswa, ada yang juga orang kebanyakan’, itu tidak dinafikan. Kebiasaannya, dapat kita perhatikan bakal pemimpin itu adalah daripada kalangan mahasiswa.

Mahasiswa yang bijak adalah mereka yang bersama rakyat daripada menempelkan diri bersama ahli politik. Mahasiswa perlu menyumbang tenaga untuk melihat perubahan yang baik dalam masyarakat. Malahan mahasiswa juga menjadi pemikir kepada masalah-masalah masyarakat. Kata Syed Hussein Al-Attas dalam bukunya, ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ intelektual yang dimaksudkan adalah ‘seorang yang memikirkan gagasan dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan keupayaan akal’.

Disini tugas intelektual adalah untuk memikirkan gagasan baru. Maka, seorang mahasiswa boleh dikatakan hampir tujuannya seorang intelektual. “Maha” bererti: Tinggi manakala “Siswa” bererti: penuntut atau pelajar, maka boleh disimpulkan mahasiswa itu adalah selangkah menjadi seorang intelektual.

Jika dijengah pandangan Ali Shariati, rausyanfikr bukan intelektual, tetapi mereka yang terdiri daripada para petani, tukang-tukang, rakyat biasa yang memikirkan tentang masalah masyarakat. Seorang mahasiswa perlu menjadi rausyanfikr dengan menjengah pekerjaan, kelakuan, kesusahan mereka. Dengan itu mahasiswa mampu menyumbang gagasan baru setelah mereka keluar universiti. Kesannya, pemimpin rakyat suatu masa nanti adalah mereka yang berjiwa rakyat, bukan sekadar ahli politik tetapi intelektual yang mendepani masalah rakyat.

Jika mahasiswa dilahirkan dengan air tangan ahli politik, tidakkah tindak-tanduknya seiring dengan seseorang ahli politik? Ini kerana manusia itu terbentuk mengikut persekitarannya. Masakan seorang mahasiswa mampu merasakan kesusahan rakyat tanpa berguru dengan rakyat, iaitu bersama-sama kesusahan mereka? Tugas mahasiswa bukan semata-mata menjadi komoditi pasaran, tetapi menggantikan ahli politik, intelektual, pensyarah dan mereka yang memimpin. Seharusnya seorang mahasiswa menoleh ke belakang melihat masalah rakyat sebelum ke hadapan menjadi orang-orang besar. Seperti disarankan Mao Tse-Tung dalam tulisan beliau, Talk on Question of Philosophy:

“Professors, assistant professors, administrative worker, and student should all of them go down, for a limited period of five month. If they go to the countryside for five month, or to the factories for five month, they will acquire some perceptual knowledge…..that’s what I call university.”

Walaupun begitu, mahasiswa perlu juga mendekati ahli politik bagi melihat cara yang digunakan bagi mendekati masyarakat. Mahasiswa harus tahu, ahli politik tidak semestinya punya tanda untuk menjadi seorang pemimpin sejak lahir, tetapi mempunyai gagasan untuk mengubah rakyat.

Seharusnya mahasiswa ada wahana tersendiri untuk menyampaikan idea yang diperkemas menjadi gagasan baru. Mahasiswa perlu bergerak atas rasa kesedaran yang tinggi dan membentuk kumpulan bagi membawa gagasan baru bagi mengubah kebobrokan. Tugas ini bukan mudah dan tidak boleh dipandang enteng, tetapi memerlukan kesungguhan. Semua orang mampu menyampaikan idea perubahan, tetapi tidak ramai mampu melakukan perubahan.

Berhadapan masyarakat yang masih memikirkan politik kepartian, adalah wajar mahasiswa menerapkan kefahaman politik sebenar. Oleh sebab itu, mahasiswa perlu berdialog bersama rakyat dan meluangkan masa, bukan bertujuan mengaut populariti, tetapi memikirkan masalah, dan mengubahnya!

Kesimpulannya, mahasiswa harus berhadapan mehnah rakyat kerana memikirkan masalah rakyat bukan semata-mata di meja tulis dalam bilik berhawa dingin. Seorang mahasiswa harus menyokong dialog dan bukanlah anti-dialog atau menolak kebebasan bersuara.

Mahasiswa seharusnya adalah seperti bakal pemimpin yang bergelut bersama rakyat agar gagasannya sebati. Manakala ideologi demokrasi perlu diterapkan kemudiannya dengan harapan pada suatu hari nanti, perubahan politik Malaysia bukan lagi sekadar isu makan dan minum. – Roketkini.com

Sadiq Jebat adalah alumni Sekolah Demokrasi