Berita

Prosiding rujukan peringati jasa Karpal Singh, Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Majlis Peguam Malaysia (Malaysian Bar) Jumaat ini akan mengadakan Prosiding Rujukan (Reference Proceedings) bagi memperingati jasa mendiang Karpal Singh kepada negara dalam bidang perundangan.

Prosiding yang terbuka untuk orang ramai akan diadakan bermula jam 9 pagi di Aras 5, Sayap Kiri, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Mahkamah Teknologi).

Orang ramai yang ingin hadir, diingatkan untuk berada di Mahkamah lebih awal berikutan ruang terhad..

Pada 17 April tahun lalu, Karpal yang lebih dikenali sebagai ‘Harimau Jelutong’ meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan.

Turut terkorban pembantunya, Michael Cornelius manakala anaknya Ram Karpal mengalami kecederaan.

Karpal, 74 tahun dikenali kerana ketegasannya dan sikap lantang memberi hujah serta pandangan di Parlimen, selain kehandalannya sebagai seorang peguam.

Beliau menyertai profesion peguam pada 1969 sebelum menyertai DAP pada tahun berikutnya.

Karpal memenangi kerusi Parlimen Jelutong pada tahun 1978 dan kekal di kerusi tersebut sehingga tahun 1999. Beliau juga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang pada Oktober 1987.

Sebagai peguam, mendiang Karpal mengendalikan banyak kes berprofil tinggi, termasuk menjadi peguambela utama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, prosiding sama pernah dilakukan untuk memperingati Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Mahkamah Persekutuan pada 19 November 2014.

Sultan Azlan yang mangkat pada 28 Mei tahun lalu merupakan bekas Ketua Hakim Negara kelima. – Roketkini.com