Berita

DAP jelaskan Islam tidak benarkan keganasan terhadap wanita

GEORGE TOWN, 29 JAN: Kenyataan Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid dikecam kerana mendakwa wanita wajar dipukul sebagai kaedah untuk mendidik mereka.

Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, ia bukan sahaja janggal, seolah-olah bersifat kebencian terhadap wanita dan tidak mencerminkan negara progresif seperti dilaungkan oleh kerajaan.

“Dalam konteks ini, istilah ‘memukul secara ringan’ boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara, tetapi tidak bermaksud keganasan dibenarkan.

“Kenyataan beliau itu hanya membuktikan betapa semakin konservatif dan patriarkinya struktur sosial kita,” kata Syerleena dalam satu kenyataan.

Syerleena merujuk Surah An-Nisaa “perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) enggan berkongsi tempat tidur, pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar).

“Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” ayat tersebut dipetik.

Katanya, ayat sama juga menyebut ‘jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan’.

Jelas Syerleena, sebab itu adalah penting untuk ayat tersebut dibaca seluruh bahagian dengan berhati-hati dan teliti.

“Walaupun perkataan ‘memukul’ digunakan, ia tidak bermaksud melibatkan penderaan fizikal,” ujarnya.

Tegas Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera itu, penderaan domestik di Malaysia amat mengejutkan, iaitu 4,128 kes pada tahun 2013 , tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan.

“Jelas, keganasan rumah tangga adalah jenayah di negara ini dan ia telah termaktub dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1996.

“Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa kecederaan fizikal atau emosi adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang,” tegasnya. -Roketkini.com