Berita

Kabinet 2015 dibarisi ‘menteri kayu’, paling teruk dalam sejarah

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Barisan Kabinet edisi 2015 barangkali yang paling teruk dalam sejarah 58 tahun negara, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk tindakan dan kenyataan beberapa Menteri yang cuai, dan tidak bertanggungjawab selain melanggar dan undang-undang.

Tindakan itu dilakukan termasuk oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Rahman dalam satu kenyataan minggu ini berkata, pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan polarisasi kaum bertambah buruk dan boleh mengakibatkan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei.

Manakala Zahid Hamidi, menulis surat kepada FBI bagi menjamin integriti ‘raja judi’ Paul Phua yang kini dibicarakan di Las Vegas atas tuduhan judi haram, menyanggah kenyataan polis kepada FBI, dan tanpa izin Ketua Polis Negara, Kementerian Luar, Kabinet mahupun Perdana Menteri.

“Bukan sahaja tidak berkualiti atau ‘kayu’ apabila langsung tidak peduli terhadap demikian banyak perkembangan di dalam negara,” ujar Kit Siang.

Dalam pada itu keputusan tidak memperbaharui kontrak TNC Universiti Malaya Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor, dan hukuman keatas mahasiswa UM8 ketika standard pendidikan Malaysia merudum menunjukkan kelemahan barisan kabinet di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Manakala intimidasi berterusan dilakukan terhadap kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) yang disiasat di bawah Akta Hasutan membuktikan pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara.

Terbaru, kes kematian dalam tahanan polis meningkat berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner Seremban bahawa kematian P Karuna Nitha, jurutera berusia 42 tahun di lokap polis Tampin akibat dipukul oleh polis dan juga tahanan lokap lain.

Kata Kit Siang, tindakan berterusan membungkam hak bersuara menimbulkan kebimbangan oleh beberapa negara dan organisasi hak asasi manusia.

“Malaysia tak mahukan sebuah kabinet yang tak bersedia menggunakan pendekatan bertanggungjawab ke atas isu-isu kritikal demokrasi, urustadbir yang baik, hak asasi manusia, kecemerlangan pendidikan dan perpaduan negara.

“Malaysia tidak sepatutnya mempunyai Menteri ‘kayu’ yang tidak berkualiti,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com