Budaya

Apa Nur Kasih ajar kita tentang rotan?

2009 yang lalu, apabila ramai hampir sudah tidak percaya lagi bahawa adanya harapan lagi untuk dunia perfileman dan lakonan Melayu Malaysia untuk menjadi lebih cerdik sedikit, sutradara Kabir Bhatia dan penulis skrip Mira Mustaffa telah membuktikan kita salah dengan karya mereka, Nur Kasih.

Drama bersiri yang berjaya memperoleh rating 4.5 juta penonton pada episod akhirnya ini dibintangi oleh Remy Ishak sebagai Adam, Fizz Fairuz (Aidil), dan Tiz Zaqyah (Nur Amina) selain dibintangi pelakon handalan lain seperti Dato’ Jalaludin Hassan (Uztaz Hassan) dan Liza Othman (Ibu Aidil dan Adam).

Bukan sahaja karya ini berjaya lari daripada klise kisah cinta ala-Korea yang berkonflik dan penuh cemburu hanya kerana cinta pada manusia, drama ini juga berjaya mengetengahkan betapa perit dan payah berjuang melawan nafsu demi memperoleh ketenangan kembali pada-Nya setelah jauh meninggalkan-Nya.

Sungguhpun karya duo ini berkemungkinan besar mendapat perhatian penonton di luar sana atas faktor keindahan “cinta Islamik” Adam dan Nur Amina serta keikhlasan hati yang suci lagi murni Aidil mengorbankan perasannya demi kehendak bapanya, Nur Kasih boleh dihayati dengan maksud lebih daripada sekadar itu.

Secara peribadi, saya berani mengatakan bahawa Mira Mustaffa ini sebenarnya seorang yang agak ‘memberontak’, dia sedaya upaya cuba melawan pemahaman Islam berdasarkan adat yang dirasakannya tidak mengikut semangat Islam.

Antaranya termasuklah nusyuz yang juga ada pada suami, imej wanita yang menuntut cerai pada pandangan masyarakat kampung, pendekatan dakwah pada anak remaja dan sudah tentulah yang ingin ditekankan di sini iaitu tentang didikan akhlak dan pekerti anak-anak oleh ibu bapa.

Dalam episod-episod awal Nur Kasih, Adam, anak kedua Ustaz Hassan digambarkan sebagai jauh terpesong daripada tuntutuan agama malah membelakanginya. Aidil, abang kepada Adam pula 180 darjah berbeza daripada Adam; seorang yang warak, bersopan santun dan sentiasa patuh pada ibu bapa.

Setelah mengetahui akan risiko penyakit yang tidak membolehkannya hidup lebih lama, Ustaz Hassan menginsafi cara didikan terhadap Adam yang lebih nakal dan degil berbanding Aidil ketika kecil dahulu. Apa-apa sahaja kesalahan yang dilakukan – mencuri, membaca al-Quran dengan bacaan salah, ponteng kelas al-Quran, dan meninggalkan solat pasti akan menempah sebatan rotan yang akhirnya menghantui Adam hingga umur dewasanya.

Walaupun ketika itu cuba ditegur isterinya akan risiko terhadap Adam jika terus menerus dirotan, Ustaz Hassan mewajarkan tindakannya dengan hadis Nabi yang menyuruh merotan anak yang berusia sembilan tahun – sekiranya tidak mahu solat.

Mendekati hujung hayatnya, Ustaz Hassan menginsafi bahawa tindakannya itu memakan kembali dirinya semula; beliau mula sedar bahawa rotan itu, kalaupun perlu, sepatutnya jalan terakhir, bukan pilihan pertama sepertimana yang dilakukannya.

Aidil yang lebih warak dan patuh pada ibu bapa juga tidak setuju dengan bagaimana cara memahami agama pada zaman kecilnya dahulu sehingga memaksanya membuang semua kitab lama di masjid kampungnya itu. Apabila Ustaz Hassan menegurnya, Aidil berhujah bahawa penting untuk memperbaharui pemahaman terhadap agama. Jika salah mengajar dakwanya, boleh jadi akan lahir sepuluh lagi Adam!

Kalau diikutkan, memanglah tindakan Aidil itu sesuatu yang boleh kita katakan sebagai memberontak agak semberono. Tetapi, mesejnya jelas di situ, pemahaman pukul-memukul dalam mendidik anak perlu dinilai dengan teliti. Tamat sudah zaman kita menganggap semua anak itu sama, cara fikir mereka sama maka kalau semua kita rotan semua akan tunduk patuh.

Dengan kesibukan ibu bapa pada zaman sekarang untuk mendidik anak secara dekat, masa akan dibazirkan dengan sebatan yang tidak munasabah. Biarpun tidak sampai berdarah, luka hati anak jika tidak diubati bersama didikan yang berterusan akan meninggalkan kesan yang tidak diingini pada psikologi anak-anak.

Ketika Abdul Kulup Rani dan rakan-rakannya dilihat tidak begitu teliti dan terus mahu membantah cadangan membawa usul larangan merotan anak oleh Datuk Seri Rohani (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) tanpa mempertimbang Menteri itu menerangkan akan meneliti had hukuman merotan bagaimana yang boleh dikenakan, demonstrasi rotan mereka sebenarnya sesuatu yang boleh kita katakan berguna; tidak perlu mahu menyakiti anak.

Malah Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin pun diceritakan bahawa anaknya mampu ketawa selepas dirotannya.

Apabila Menteri membuat kenyataan tersebut, kita nampaknya lupa bahawa sebuah drama popular di Malaysia telah pun lama mengetengahkan idea bahawa merotan bukanlah jalan paling utama mendidik anak. Banyak institusi di luar sana kini cuba mengembangkan pendidikan anak-anak (tarbiyatul aulad) yang menekankan kasih sayang seperti yang dianjurkan IKRAM Junior dan Khalifah Method.

Semoga usaha-usaha kecil ini beroleh kejayaan dan berjaya mengubah paradigma masyarakat tentang semangat sebenar pendidikan anak-anak yang dianjurkan oleh Islam.

*Wan Salman Wan Sallam adalah pembaca Roketkini. Pandangan beliau boleh diekori di laman mikro Twitter melalui akaun @wsalmanwsallam