Rencana

Kawan, lawan dan setiakawan

Menjelang keputusan perbicaraan kes Fitnah 2 membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berisiko untuk dipenjarakan selama enam tahun, Pakatan Rakyat kini berada di persimpangan. Mereka harus mempertimbangkan dua perkara – menjadi lawan dan kekal berkawan.

Anwar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat akan kekal utuh, sekalipun dia terpaksa berhadapan risiko dipenjara dan menuju pengakhiran kerjaya politiknya selama lebih 40 tahun.

Di dalam temubual ekslusif yang dimuatkan di dalam edisi akhbar The Rocket bertajuk, “Pakatan without Anwar” – Anwar kelihatan optimis.

Dia seakan pasrah, sedari belum tentu mengalah. Anwar masih punya keyakinan yang kuat terhadap gabungan politik oposisi yang paling signifikan di dalam sejarah Malaysia.

2015 tahun ketidaktentuan

Di saat krisis bakal menjelma sepanjang tahun 2015, Malaysia tidak terkecuali dibayangi risiko kemelut ekonomi. Pelaksanaan cukai GST bakal menambahkan kesengsaraan rakyat. Ketidakadilan ekonomi merupakan ancaman terhadap kegiatan ekonomi yang sihat di Malaysia.

Laporan State of The Household 2013 yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute mendedahkan bahawa majoriti rakyat Malaysia masih tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan stabil.

Kenaikan kos hidup menyebabkan generasi muda terpaksa berhutang untuk menampung keperluan harian. Harga rumah yang semakin meningkat menyukarkan rakyat Malaysia untuk memiliki aset hartanah.

Kadar gaji pula tidak selaras dengan kenaikan harga barang. Di dalam laporan yang sama, Khazanah Research Institute turut melaporkan bahawa kadar kenaikan gaji di Malaysia tidak setimpal dengan kadar kenaikan harga barang.

Tanpa kekuatan gabungan parti pembangkang yang kuat, rakyat Malaysia akan lebih mudah diabaikan oleh parti pemerintah yang hanya memikirkan untung dan laba semata-mata.

Rakyat Malaysia tanpa Pakatan Rakyat?

Pakatan Rakyat setidaknya menjadi ancaman utama buat UMNO dan Barisan Nasional. Keputusan PRU ke 13 yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi popular merupakan refleksi bahawa majoriti rakyat Malaysia sudah bijak memilih kerajaan apa yang baik buat mereka.

Tugas Pakatan Rakyat – yang mungkin tidak difahami banyak pihak BUKAN semata-mata untuk memastikan mereka menang di Putrajaya. Tugas mereka adalah untuk meyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa kuasa sebenar di tangan mereka. Rakyat Malaysia, sama, ada Melayu, Cina dan India mempunyai hak untuk menjadi sebahagian daripada masa depan mereka – Malaysia!

Sekiranya mereka berani untuk tidak mengundi Barisan Nasional, mereka juga pasti mampu mengatakan tidak kepada Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan Rakyat gagal untuk menjadi badan pentadbir yang baik kelak.

Apa ertinya setiakawan?

Penubuhan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 merupakan ikhtiar sebuah setiakawan. Gabungan ini telah direncanakan menerusi kesepakatan dasar yang dibina bersama. Penubuhan Dasar Bersama Pakatan Rakyat pada 19 Disember 2010 merupakan titik-tolak daripada perjuangan rakyat dan komitmen demokrasi masa panjang.

Dasar ini ditubuhkan dengan empat perkara asas:

a) Ketelusan Demokrasi

b) Memacu Prestasi, Kemapanan dan Kesaksamaan Ekonomi

c) Keadilan Sosial dan Pembangunan Manusia

d) Reformasi polisi luar dan meninjau semula hubungan kerajaan Pusat-Negeri

Benar – isu Hudud dan pilihanraya Majlis Tempatan bukanlah tumpuan utama perjuangan Pakatan Rakyat. Tetapi, dasar toleransi terhadap komitmen dan tuntutan politik yang berbeza merupakan harga setiakawan sebenar buat para penjunjung Pakatan Rakyat.

Segala isu yang berbangkit wajar diselesaikan kembali secara tertutup di dalam meja rundingan. Jika tidak, kita bakal kehilangan sebuah lagi ‘support system’ terhadap reformasi sistem politik di Malaysia.

Jika Pakatan Rakyat kecundang, ia mengambil masa yang lebih lama untuk menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang sinonim dengan rasuah, penyelewengan dan ketirisan.

Sejarah perjalanan politik Pakatan Rakyat penuh diwarnai dengan erti setiakawan dan pengkhianatan. Akhirnya kita sedar bahawa politik itu adalah seni segala yang mungkin.

Namun, perkara ini tidak akan melemahkan usaha dan prinsip mereka yang mahu menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. – Roketkini.com