Berita

Kuasa memilih perlu dikembalikan kepada pembayar cukai

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Tindakan menggunakan isu kaum bagi menidakkan usaha mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan adalah ‘kurang cerdik’ dan secara tidak sedar ‘bersifat perkauman’, kata Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

Kok Wai berkata, usaha memulangkan hak undi ketiga kepada rakyat tidak seharusnya berubah menjadi serangan negatif terhadap DAP.

“Gesaan kami menuntut pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan adalah atas dasar demokrasi, ia sudah berulang kali disebut, malangnya ada yang masih menggunakan garis perkauman untuk menidakkannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengubah sistem sedia ada yang tidak berteraskan rakyat.

“Inilah waktu paling sesuai untuk rakyat yang menghargai demokrasi, hak asasi manusia, keadilan dan tadbir urus baik bersama kami serta memberitahu pemimpin bersifat perkauman bahawa pilihan kerajaan tempatan adalah tanggungjawab pembayar cukai,” katanya dalam forum anjuran Research for Social Advancement (REFSA) di Mandarin Court Hotel, petang tadi.

Isu pilihanraya kerajaan tempatan sebelum ini hangat diperkatakan berikutan kesungguhan DAP untuk mengembalikan hak undi ketiga itu selepas ia dimansuhkan pada tahun 1976 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Namun, ia bukan sahaja mendapat tentangan UMNO, malah sesetengah pemimpim Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS menolaknya menggunakan hujah garis perkauman.

Sejak tahun 1976 sehingga kini, ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilantik oleh parti politik yang mentadbir negeri. – Roketkini.com