Berita

Pengasas Harakah sokong usaha kembalikan pilihanraya kerajaan tempatan

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Pengasas Harakah Ishak Surin menolak pandangan pihak tertentu mengikut garis politik UMNO menggunakan sentimen kaum bagi menghalang usaha demokratik DAP mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan di Malaysia.

Ujarnya, usaha DAP tidak sewajarnya dinilai dari sudut perkauman kerana tujuan sebenar adalah bagi mengembalikan semula hak warga memilih ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan tanpa mengira agama atau warna kulit.

“Saya rasa tidak kira dia Melayu, India atau Cina, kalau dia seorang yang punya kemampuan dan kredibiliti, apa salah kalau dia dipilih menjadi ahli PBT,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam forum ‘Beyond Local Government: Making Kuala Lumpur A State’ di Mandarin Court Hotel, hari ini.

“Sebagai contoh kita lihat hari ini di Kuala Lumpur, Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Ahmad Phesal Talib) apa dia buat untuk kesenangan penduduk? Apa fungsi jawatannya?

“Tidak ada langsung, dan jawatannya itu boleh dikatakan diberikan hanya untuk seorang pegawai kerajaan. Ini tidak boleh terus berlaku dan perlu diubah dengan mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan,” ujar Yang Di-Pertua PAS Batu itu.

Antara panelis lain dalam forum anjuran Research for Social Advancement (REFSA) tadi adalah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.

Forum yang dihadiri lebih 100 hadirin itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan dimudahcara Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Steven Sim Chee Keong

Ishak yang juga Ketua PAS Kawasan Batu turut menegaskan, jika pilihanraya kerajaan tempatan dapat dilaksanakan semula, ia sudah tentu dapat memberikan sumbangan khidmat yang lebih baik kepada semua warga.

“Kalau kita lihat bandar-bandar seperti Bangkok, Manila, Taipei dan jiran terdekat kita Jakarta, kesemua mereka mempunyai pilihanraya kerajaan tempatan.

“Tapi Malaysia dan KL apa yang ada? Apa erti Hari Wilayah? Tidak ada apa-apa, tak malu dengan rakan-rakan di Indonesia?

“Kita dah jadi macam lembu kena cucuk hidung, ikut sahaja. Perkara seperti ini tidak patut terus dibiarkan.

“Sudah tiba masanya pilihanraya kerajaan tempatan diwujudkan semula untuk menyuburkan sistem demokrasi supaya dapat menikmati khidmat yang lebih baik, terutama dari segi kemudahan seperti air, perumahan dan sebagainya,” katanya yang baru saja menubuhkan NGO Majlis Tindakan Kuala Lumpur. – Roketkini.com