“Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu. …”
Karya kreatif seperti novel dan cerpen merupakan salah satu cara mudah untuk pembaca mengenali, menghayati dan memahami budaya masyarakat pelbagai kaum.
Cerpen dalam Bahasa Malaysia amat unik kerana ditulis oleh pengarang daripada latar budaya, agama, keturunan, etnik dan adat-resam yang berbeza menggunakan suatu bahasa yang difahami seluruh rakyat Malaysia.
Sebaik sahaja kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) yang menghimpunkan sebelas karya Chai Loon Guan sampai ke tangan pada 23 Januari 2015, saya terus membaca sambil membuat catatan pada buku itu sendiri.
Buku ini adalah kumpulan cerpen kedua Chai Loon Guan, selepas Di Perantauan Impian (2009). Manakala kumpulan sajak sulung oleh penulis kelahiran Tanjong Malim, Perak ini berjudul Di Padang Kehidupan (2008).
Tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini menampilkan watak Ah Hai serta pengalamannya sejak tiba di Singapura pada tahun 1926 sehingga kejayaannya dalam perniagaan dan politik tempatan menjelang tahun 1945.
Empat buah cerpen menampilkan watak bernama Ah Ti tetapi tidak merujuk kepada watak yang sama. Nama “Ah Ti” mungkin begitu penting sehingga membuatkan editor buku meletakkan nama itu menggantikan “Ah Hai” pada bahagian blurb (kulit belakang) buku ini.
Watak Ah Ti dalam cerpen “Ayah” adalah seorang bakal guru yang sedang menuntut di sebuah maktab perguruan. Adik-beradiknya bernama Ah Moi, Ah Chew, Ah Meng dan Ah Kim, manakala abang sulung tidak dinyatakan nama.
Identiti keturunan sudah semakin hilang
Cerpen berkenaan mula-mula tersiar di akhbar Mingguan Malaysia (24 Mei 1987) sebelum menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1987. Apa yang menarik, gelaran nama seperti Ah Moi, Ah Chew dan seumpamanya masih menjadi amalan dan kebiasaan dalam kalangan kaum Cina pada latar waktu itu.
Dalam buku Mariam’s Kitten and The Lost Baby (1963) tulisan B Smith yang pernah saya baca di perpustakaan SRK Convent Aulong, Taiping sekitar tahun 1970-an, misalnya, ada watak Ah Meng dan Ah Beng.
Cerita-cerita yang ditulis pengarang Melayu pada tahun 1970-an serta buku-buku teks sekolah pada zaman itu juga sering menampilkan watak-watak bernama Ah Meng, Ah Seng, Ah Beng, Ah Moi, Ah Chong dan segala macam “Ah”.
Nampaknya pengarang kaum Cina pada masa sekarang juga selesa dengan nama-nama seperti itu yang sebenarnya tidak menampakkan identiti keturunan berdasarkan nama keluarga (surname).
Cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB” jelas berciri autobiografi dan catatan pengalaman Chai Loon Guan selaku penulis sajak dan cerpen, peminat “bahasa dan susastera Bahasa Melayu”, Munsyi Bahasa yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pembentang kertas kerja pada Muzakarah Munsyi di Tanah Tinggi Genting.
Menerusi cerpen itu yang berlatarkan tahun 2012, watak “Aku” yang secara terang-terangan mewakili diri penulis – atau alter ego – dipanggil oleh kakak sulungnya menggunakan nama timangan Ah Ti.
Seorang sahabat bernama Din yang merupakan “penulis dan penggiat persatuan karyawan” serta “penyelaras Seminar Rao dan penyelenggara antologi Puisi dan Cerpen Pawang Ana” memanggilnya sebagai Adi. Kebetulan, Adichonan adalah nama pena Chai Loon Guan.
Suara misteri nenek-moyang
Petikan dialog pada bahagian awal makalah ini dipetik daripada cerpen “Ayah”. Semasa Ah Ti sedang tidur lelap di bilik sewa, dia terdengar suatu suara yang membuatkan matanya terpaku, bibir membisu, lidah kelu dan hati mulai cemas.
“Cu, bertenanglah. … Bertenanglah wahai cucuku. … Wahai cucuku, usahlah bertanyakan asal usulku. Cuma ada satu pesan buat cucu. … Tapi, cu … nafas kematian itu ada di mana-mana. Carilah pegangan itu agar dirimu tidak sesat. Sembahyanglah sebelum diri cucu disembahyangkan!”
Demikian antara pesanan suara misteri itu yang digambarkan sebagai “mirip-mirip suara seorang tua yang alim” yang terhasil daripada “suatu sinar kerdipan menyilau mata.”
Pada keesokan hari, ayahnya yang “baru saja jatuh sakit” sudah meninggal dunia sebelum Ah Ti sempat pulang ke rumah. Digambarkan budaya kaum Cina di mana anak-anak mendiang memakai baju warna hitam manakala cucu-cucu memakai baju warna biru sebagai tanda berkabung.
Persoalan mengenai suara misteri itu dibiarkan begitu sahaja tanpa dijawab. Tidak diketahui siapakah itu: orang alim yang membawa nur Islam atau suara nenek-moyang yang biasanya disembah masyarakat Cina.
Suara misteri itu muncul semula dalam cerpen “Kedai” dan bercakap dengan watak Nyonya Tanteh, iaitu balu kepada Ah Ti. Untuk makluman, Ah Ti ini yang “telah pulang ke alam baqa 100 hari yang lalu” merupakan pemilik sebuah kedai papan dua tingkat yang sudah usang. Dia tidak sama dengan Ah Ti, si bakal guru, dalam cerpen “Ayah”.
Nyonya Tanteh berada dalam dilema apabila anak-anak cuba memujuknya supaya menjual harta warisan iaitu kedai runcit usang di Kampung Baru Yong dan berpindah ke Kuala Lumpur.
Pada malam itu, hujan lebat dan “kilat masih mahu berlagu” sementara “angin kencang masih belum mahu reda”. Tiba-tiba muncul “segaris sinar” yang “makin membesar” sehingga menyebabkan bilik wanita tua itu “yang gelap-gelita tiba-tiba bergemerlapan.” – Bersambung (Roketkini,com)
Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau juga penulis sepenuh masa.