Berita

Kenyataan perkauman, Ismail Sabri didesak mohon maaf

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan beliau menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan kaum Cina untuk memberi tekanan supaya harga barang di pasaran turun.

“Kenyataan Ismail tidak bertanggungjawab serta berunsur perkauman. Ia menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara kita,” kata ahli jawatankuasa DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee.

“Ismail harus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan beliau,” tegas ADUN Balakong tersebut.

Ujarnya, kenyataan Ismail itu langsung tidak masuk akal dan menunjukkan menteri itu gagal memahami selok-belok perniagaan.

“Dia cuba memesongkan perhatian orang ramai kerana kegagalan kerajaan meringankan beban pengguna dengan menyalahkan peniaga-peniaga,” tegas Eddie.

Tambahnya, harga barangan tidak dapat diturunkan berpuca daripada antaranya penyusutan nilai ringgit Malaysia yang kini pada nilai terendah sejak 2008.

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan menangani impak penyusutan nilai tersebut dan kesan buruk yang bakal timbul selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 1 April 2015 nanti,” tambah Eddie.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup kerana mempertahankan Ismail

“Menteri yang memegang portfolio perpaduan itu gagal melaksanakan amanahnya sebagai seorang menteri yang seharusnya bukan sahaja memastikan perpaduan, malah sepatutnya meningkatkan perpaduan masyarakat.

“Saya kecewa dengan Ismail sebagai menteri berkualiti rendah, dan sedih apabila negara memiliki seorang ‘Menteri Perpaduan’ yang menyokong kenyataan berunsur perkauman,” ujar Eddie. – Roketkini.com