Berita

Kes kedai buku Borders, rayuan JAWI ke Mahkamah Persekutuan tak berasas

BUKIT BENDERA, 2 FEB: Rayuan Jabatan Agama Islam (JAWI) ke Mahkamah Persekutuan dalam kes rampasan buku kedai Borders seolah-olah cuba mengubah keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, tindakan JAWI itu disifatkan sebagai langkah terdesak, tidak selari dengan undang-undang selain bercanggah dengan perlembagaan.

“Keputusan mahkamah disokong dua penghakiman yang menyatakan rampasan buku oleh JAWI tidak selari undang-undang dan bercanggah dengan perlembagaan.

“Lebih-lebih lagi sitaan itu berlaku seminggu sebelum arahan larangan dan tiga minggu sebelum buku itu diharamkan secara rasmi.

“Tak perlu jadi genius untuk mengetahui kes JAWI ini tak ada asas langsung,” kata Zairil dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Borders, Nik Raina Nik Aziz didakwa kerana menjual buku penulis kontroversi Irshad Manji berjudul Allah, Liberty and Love.

Beliau ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 13(1) Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana menjual dan mengedarkan cuku yang bercanggah dengan undang-undang Islam.

Jika didapati bersalah, beliau boleh didenda sebanyak RM 3,000 atau dipenjara selama dua tahun, atau kedua-duanya.

Ujar Zairil, cubaan itu dilihat sebagai tindakan sivil, sedangkan tuduhan JAWI ialah ‘melawan ajaran-ajaran Islam’, di samping mendapatkan penjelasan apakah undang-undang syariah terpakai ke atas ‘entiti korporat yang tidak menganut apa-apa agama’.

“Sudah tiga tahun Nik Raina terpaksa menghadapi permasalahan undang-undang yang tak diperlukan.

“JAWI patut hentikan tindakan mereka dari hanya memanjangkan penderitaan beliau dan membazirkan duit rakyat terhadap kes yang sia-sia.

“DAP akan terus berdiri bersama dengan Nik Raina, kerana kami percaya tidak ada sesiapa yang berada luar dari jangkauan undang-undang., baik individu atau pun agensi kerajaan,” kata Zairil. – Roketkini.com.