Berita

‘Profesor kangkung’ UUM disaran baca RCI Athi Nahappan

GELANG PATAH, 2 FEB: Kenyataan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Martadha Mohamad dan Md Shukri Shuib dilihat seperti ‘profesor kangkung’ kerana menipu rakyat Malaysia berkenaan pilihanraya kerajaan tempatan.

“Menyedihkan dan tragik bila kita dengar dekan undang-undang universiti tempatan merepek kononnya DAP mencabar Perlembagaan Persekutuan, hanya kerana berpendapat pilihanraya kerajaan tempatan perlu dilaksanakan,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Dalam laporan Bernama semalam, kedua mereka mendakwa usaha DAP melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan di Pulau Pinang sebagai cubaan mencabar Perlembagaan Persekutuan serta cubaan menukar wajah Pulau Mutiara itu kepada negeri berautonomi yang menghuru-harakan kestabilan kaum.

Justeru itu Kit Siang mencabar ‘profesor kangkung’ itu untuk menjelaskan pendangannya mengenai janji Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan setelah konfrontasi dengan Indonesia berakhir.

“Harus sedar, Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Athi Nahappan (RCI Athi Nahappan) yang ditubuhkan pada 1965 bertujuan memberi cadangan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan harus dilaksanakan pada masa akan datang.

“Adakah ‘profesor kangkung UUM itu akan mengatakan bahawa laporan RCI Athi Nahappan itu juga sebagai ‘cubaan mencabar Perlembagaan Persekutuan?

“Bila ‘profesor kangkung’ kata DAP nak tukar Pulau Mutiara menjadi negeri autonomi, apakah mereka hendak beritahu bahawa Pulau PInang yang melaksanakan pilihanraya kerajaan dari 1957-1965 adalah sebuah negeri autonomi?

“Kasihan pelajar-pelajar di bawah ‘profesor kangkong’, mereka belajar dengan orang yang tidak faham Perlembagaan Persekutuan,” kata Kit Siang.

Istilah ‘profesor kangkung’ merujuk kepada ahli akadeik yang berlagak seolah-olah tahu semua perkara, selain sikap riak, angkuh dan mengampu pemerintah tanpa mengeluarkan pandangan ilmiah.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga menyifatkan kedua mereka tidak mengikuti wacana-wacana terkini, berdasarkan dakwaan mereka yang menyatakan pilihanraya kerajaan tempatan akan menghuru-harakan kestabilan kaum di Malaysia.

“Faktanya, dari 148 PBT, 90 peratus dari jumlah itu ada 50 peratus populasi Melayu, hanya tiga peratus saja yang ada majoriti Cina, sedang 13 peratus lagi bercampur.

“Dengan fakta dan angka ini, adakah Profesor Kangkong cuba beritahu mereka tidak ada integriti dan tidak amanah bila asyik dakwa Pilihanraya PBT hanya melibatkan penduduk bandar dan bukan orang kampung?

“Profesor Kangkong UMNO mungkin fikir mereka boleh tipu rakyat demi tuan politik mereka.

“Tetapi saya percaya rakyat ada kemampuan untuk mengenalpasti kebenaran dan fakta dari penipuan mereka,” tegas Kit Siang – Roketkini.com