Berita

Turun harga barang, Ahmad Maslan patut bertindak pada TNB dulu

KULAI, 2 FEB: Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan perlu bertindak keatas Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlebih dahulu yang enggan menurunkan tarif elektrik, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan berkata, peniaga yang enggan menurunkan harga barangan tertentu selepas pelaksanaan GST pada 1 April depan dikategorikan sebagai ‘pengkhianat ekonomi’ dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Saya mengalu-alukan pengumuman beliau. Tetapi untuk menunjukkan kesungguhannya, saya mencabar beliau bertindak keatas TNB kerana enggan menurunkan tarif elektrik, walaupun harga minyak mentah antarabangsa telah turun,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Kerajaan pada Januari tahun lalu menaikkan tarif elektrik 16 peratus berikutan peningkatan harga minyak mentah antarabangsa.

Ini kerana harga penanda aras arang batu pada Januari 2014 bagi tarif elektrik adalah RM275 per metrik tan (kos arang batu: USD87.5 per tan metrik pada harga RM3.14 / USD).

Pada Disember 2014, harga arang batu 21 peratus lebih rendah, iaitu RM217 per metrik tan (kos arang batu: USD62 per tan metrik pada RM3.50 / USD).

Menurut Nie Ching, kajian UOB Kay Hian menganggarkan TNB berjimat RM424 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2015.

Manakala Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpendapat TNB dapat menjimatkan RM310 juta kos bahan api bagi separuh pertama tahun ini dan RM703 juta pada tahun 2015.

Justeru itu, firma penyelidikan itu turut menganggarkan TNB dapat menjimatkan kos RM667.8 juta, atau 13.8 peratus operasinya berikutan harga arang batu lebih rendah, iaitu di bawah USD65 per tan metrik.

Dalam pada itu, Nie Ching mempersoalkan kegagalan TNB menurunkan kadar elektrik, sedangkan

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem pada 20 November mengambil tindakan berani mengumumkan penurunan tarif elektrik sebanyak 40 peratus.

“Mengapa TNB tidak mengikuti jejak mereka, lebih-lebih lagi ketika keuntungan bersih TNB bagi suku pertama 30 November, 2014 meningkat 34.3 peratus, dari tahun ke tahun kepada RM2.35 bilion?

“Disamping ‘ancaman’ kepada peniaga yang enggan menurunkan harga barangan tertentu selepas 1 April nanti, Ahmad Maslan perlu terlebih dahulu bertindak keatas TNB dan kerajaan BN yang enggan menurunkan tarif elektrik,” ujar Nie Ching. – Roketkini.com