Rencana

A Samad Said: Tiada yang terlambat dalam perjuangan

Samad3“Memang saya menyesal kerana tidak melakukannya lebih awal lagi. Mungkin selama itu saya terlalu naif.”

Kata-kata seorang seniman yang berpuluh tahun lamanya menulis tentang suasana sosial dan kehidupan kelompok bawahan. Kekuatan pujangga itu terletak pada gambaran yang dilakarkan dalam karya-karyanya yang merangkumi novel, drama, cerpen, puisi dan lukisan.

Namun semua itu tidak pula membawanya ke gelanggang politik kepartian. Walaupun dia pernah bersama tokoh-tokoh politik marhaen sepanjang 1950-an dan 1960-an, itu tidak pula menarik hatinya untuk bersama mereka di gelanggang siasah.

“Saya menganggap sasterawan itu sebagai perakam. Selama itu saya memilih untuk menjadi apolitikal (tidak terlibat secara langsung dengan politik).
“Sehinggalah saya merasakan saya perlu berbuat sesuatu, dan saya akhirnya melakukan itu,” kata Datuk A. Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad apabila mengenang saat beliau memilih untuk bergelumang dengan perjuangan melalui Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 pada 2011.

Hari ini beliau bukan sahaja tidak menyesal berdiri bersama Bersih – walau ditekan oleh pemerintah – malah mahu terus bergerak. Semua ini diceritakannya dalam satu pertemuan singkat dengan Roketkini.com di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

“Sekian lama saya bersikap apolitikal kerana saya melihat tugas dan tanggungjawab seorang sasterawan adalah menjadi perakam, tidak perlu melibatkan diri.
“Kini saya mahu terus aktif. Terus melibatkan diri bersama dengan rakyat. Selagi kesihatan mengizinkan,” katanya apabila ditanya apa azamnya untuk tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Usianya kini 83 tahun
Beberapa hari lagi, Pak Samad akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-83 pada 8 Februari ini. Dalam usia yang senja ini beliau semakin aktif dalam dunia aktivisme. Sejak menjadi Pengerusi Bersama Bersih 2.0 dulu, beliau banyak menyertai gabungan-gabungan lain termasuk menjadi penaung gerakan Negara-ku yang menentang politik perkauman dan keagamaan yang sempit.

Politik sebenarnya bukan sesuatu yang asing baginya. Cuma hatinya memilih untuk menjadi “perakam” keadaan dan peristiwa, sesuai dengan kerjaya awalnya sebagai wartawan.
Mengenang zaman mudanya, beliau pernah rapat dengan pemimpin politik kiri Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sewaktu menjadi wartawan Fikiran Rakyat tetapi tidak pula menyertai politik mereka walaupun Boestamam pernah mengajaknya menyertai Partai Rakyat Malaya. Tumpuan beliau lebih kepada penulisan.

Sebagai wartawan dan sasterawan dalam ruang penulisan Bahasa Melayu, beliau juga rapat dengan pimpinan UMNO. Beliau akui juga dulunya beliau senang dengan Dr Mahathir Mohamad dan mereka agak rapat persahabatan.

Menceritakan tentang hal itu, katanya, selepas meninggalkan jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir bertanya kepadanya: Mengapa Samad tidak minta apa-apa dari saya sewaktu saya menjadi PM? “Saya menjawab: Sir, saya tidak pernah dan tidak akan meminta apa-apa dari anda. Namun jika saya ditawarkan sesuatu, saya sudi mempertimbangkannya,” katanya sambal ketawa.

“Air Yang Berkata” ditulis khas untuk inisiatif Impian Kelantan yang bermatlamat membantu warga negeri yang menjadi mangsa bencana banjir besar akhir tahun lalu.

“Air Yang Berkata” ditulis khas untuk inisiatif Impian Kelantan yang bermatlamat membantu warga negeri yang menjadi mangsa bencana banjir besar akhir tahun lalu.

Apabila ditanya apakah sasterawan Melayu suka meminta-minta daripada penguasa, beliau Samad hanya menyambung ketawa, walau tawanya terasa tawar dan seperti ada nada kepedihan.

Memahami kuasa
Pak Samad sebenarnya bukan naif. Beliau sedar tentang politik dan kaitannya dengan kuasa. Beliau tahu tentang penggunaan kuasa dan penyalahgunaan kuasa. Beliau juga maklum tentang bagaimana kuasa mampu memijak jiwa perjuangan.

Selepas penglibatannya dengan Bersih 2.0 di mana kerajaan Najib Razak telah menekannya dengan siasatan polis terhadap puisi “Unggun Bersih” yang dideklamasikannya pada pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau juga dikutuk oleh banyak pihak, termasuk kawan-kawan seangkatannya.

“Ada kawan-kawan dari kalangan sasterawan sendiri yang meminta saya jangan berbuat begitu. Dari Gapena (Gabungan Penulis Nasional) misalnya meminta saya jangan melawan kerajaan.

“Saya katakan kepada mereka saya mahu bersama dengan rakyat. Selepas itu tiada lagi jemputan dari Gapena atau Dewan Bahasa & Pustaka yang sebelum itu biasanya akan menjadikan saya tetamu baca sajak setiap bulan. Oleh kerana memang acara-acara itu saya dibayar, itu bererti putus sudah rezeki saya.

“Ada juga Menteri yang bertanya saya, ‘Samad apa yang engkau mahukan? Cakap saja, saya boleh berikan’. Begitu sekali pandangan mereka terhadap sasterawan yang mereka sangka boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujarnya pilu memikirkan tentang kebendaan, kuasa dan pangkat yang menjadi ukuran pimpinan hari ini.

Memang tidak kurang ramainya manusia yang bergelar sasterawan lebih mementingkan perut sendiri atau “carma” (cari makan) daripada melaksanakan kata-kata yang mereka sendiri ukir sebagai perjuangan untuk rakyat.

“Rasanya hari ini hanya saya dan (penulis/penyair) Dinsman yang masih berdiri bersama rakyat. Mungkin jika Usman Awang masih hidup saya rasa dia akan bersama kami juga,” ujarnya mengenang sahabatnya Usman seorang Sasterawan Negara yang sudah tiada lagi sejak 2001. Usman atau nama penanya Tongkat Waran adalah penyair dan dramatis yang terkenal dengan puisi tentang insan yang tertindas, tentang kepelbagaian kaum dan tentang cinta romantis.

Pak Samad yang telah menghasilkan karya besar seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi, kini lebih menumpukan kepada penulisan puisi. Beliau kini dalam proses menyiapkan antologi puisi terbaru yang berjudul Balada Bersih yang diharap dapat diterbitkan tahun ini.

Umur memang tidak menjadi halangan kepadanya. Malah semakin hari dia makin berani mempersoalkan nalurinya sendiri. Mungkinkah beliau mahu menebus sesuatu yang terbuku dalam jiwanya selama ini? Itu bukan persoalannya; yang penting beliau terus mara tanpa terlalu lama menoleh ke belakang.

Samad4Berkawan dengan DAP
Malah, keberaniannya menyebabkan banyak pihak tidak selesa, khususnya apabila kemesraan yang diperlihatkan apabila bersama dengan pimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Saya lebih senang dengan DAP kerana bagi saya ia punya pemimpin yang bermitos. Dan mereka bersih. Dan ramai pemimpin muda yang jujur dan bersih juga,” jelas beliau.
Tetapi bagaimana dengan tohmahan yang biasa didengar, kononnya DAP parti untuk orang Cina? “Kaum itu sesuatu yang kebetulan, itu kehendak Tuhan. Manusia dilahirkan begitu. Saya juga mungkin dilahirkan sebagai seorang Cina. Ia bukan menjadi masalah.”

Beliau memang akrab dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Sewaktu di Kota Bharu untuk pelancaran Gabungan Impian Kelantan hujung minggu lalu, jelas kemesraan mereka berbual dan berbincang.

Pak Samad juga sempat mengukir sebuah lagi puisi terbaru dengan judul “Air Yang Berkata” untuk inisiatif Impian Kelantan itu yang bermatlamat membantu warga negeri yang menjadi mangsa bencana banjir besar akhir tahun lalu.

Walaupun umum sedar bahawa usaha projek itu adalah sebahagian daripada Impian Malaysia anjuran DAP, ia tidak menghalang beliau bersama puluhan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

Walau apa pun tohmahan terhadap DAP, Bersih dan beberapa inisiatif demokratik yang memacu keadilan dan kesederhanaan, Pak Samad tidak mempedulikan itu semua. Tekad beliau jelas. Beliau akan terus berjuang. Kerana baginya tiada ada yang terlambat dalam hidup ini, selagi kesihatan membenarkannya terus aktif. – Roketkini.com