Berita

DAP desak henti salahguna kuasa tindas kesatuan sekerja KTMB

JOHOR BAHRU, 3 FEB: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bertanggungjawab menghentikan penyalahguanan kuasa pihak pengurusan KTMB terhadap Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) Abdul Razak Md Hassan.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, tindakan KTMB bersifat balas dendam peribadi terhadap Abdul Razak kerana mengetuai piket menentang pihak pengurusan KTMB yang tidak efisyen.

Menurut laporan Malaysiakini, Abdul Razak diminta mempamerkan mesej permohonan maaf setiap hari di akaun facebook beliau serta laman web RUM sepanjang 90 hari kepada Elias Kadir selaku Presiden KTMB.

Kata Shu Qi, selaku Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai tidak boleh mendiamkan diri dalam kes yang tidak masuk akal ini.

“Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan seharusnya bertanggungjawab keatas KTMB yang mempunyai tahap prestasi rendah, khasnya pemimpin yang menyalahguna kuasa dalam kes piket RUM.

“Beliau mesti menukar pemimpin pengurusan KTMB, mengembalikan keadilan kepada semua pekerja-pekerja KTMB segera,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Abdul Razak diminta membuat pemohonan maaf harian selama tiga bulan kepada kepimpinan KTMB dalam media sosial menyifatkan hukuman itu sebagai tidak logik dan tidak masuk akal.

Menyelar tindakan KTMB, Shu Qi berkata, tidak ada sesiapa yang mempunyai fikiran rasional boleh menerima tindakan yang diambil KTMB yang jelas tidak mengikut undang-undang.

“Suatu masa dahulu KTM pernah menawarkan perkhidmatan yang amat efisyen dan penting untuk penduduk-penduduk di pekan.

“Walaubagaimanapun, KTMB semakin diketepikan dalam perkembangan ekonomi negara kita kerana kerajaan BN tidak berhasrat menggunakan sepenuhnya aset yang sedia ada mahupun menjaga kepentingan pekerja-pekerja KTMB.

“Sebaliknya, kerajaan BN lebih berminat menerima tawaran pembinaan projek besar dan kos tinggi yang menguntungkan kroni.

Sekiranya pihak pengurusan KTMB yang dilantik kerajaan BN tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan hati, Liow Tiong Lai perlu mengambil keputusan untuk menukar pengurusan syarikat tersebut,” tegas Shu Qi. – Roketkini.com