Berita

DAP gesa Perdana Menteri arah Ismail Sabri tarik kenyataan

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina menimbulkan perasaan benci dan dengki di kalangan orang Melayu terhadap bukan sahaja peniaga Cina, tetapi orang Cina secara umum.

Justeru itu, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian menggesa Perdana Menteri mengarahkan Ismail menarik balik kenyataannya dan meminta maaf atas tuduhan yang tidak berasas

Menurut Kian Ming, berikutan kenyataan Ismail, sebahagian orang Melayu terdorong melemparkan kata-kata kesat yang dibimbangi menimbulkan suasa tidak harmoni di kalangan rakyat Malaysia

“Bukti ini jelas boleh diperhatikan dalam laman facebook Ismail Sabri. Ada komen yang menyifatkan golongan peniaga Cina sebagai lintah darat dan menyeru orang Melayu untuk isytiharkan peperangan terhadap golongan ini.

“Ada komen yang menggambarkan orang Cina menghina orang Melayu. Ada komen yang mengatakan bahawa orang Cina adalah bangsat.

“Ada komen yang menggunakan contoh ini sebagai ‘bukti’ bahawa orang Melayu sedang ditindas oleh orang Cina.

“Kenyataan Ismail Sabri memang tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan perasaan benci dan dengki terhadap orang Cina secara umum,” kata Kian MIng.

Ujarnya, ada pelbagai sebab peniaga tanpa mengira bangsa tidak menurunkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun harga minyak telah turun.

“Harga minyak adalah sebahagian kecil daripada kos barangan. Walaupun harga minyak telah turun, tetapi gaji pekerja-pekerja tidak diturunkan, harga elektrik tidak diturunkan, harga tong gas tidak diturunkan, harga kereta tidak diturunkan, sebagai beberapa contoh sahaja.

“Oleh kerana susut nilai mata wang ringgit, harga barang import bukan sahaja tidak turun tetapi telah meningkat,” jelas Kian Ming.

Tegas Kian Ming, Perdana Menteri yang seharuanya menjaga keharmonian negara dan hubungan baik di antara kaum perlu memberi arahan kepada Ismail untuk meminta maaf atas kenyataannya dan juga menarik balik tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap peniaga-peniaga Cina.

“Jikalau Perdana Menteri gagal membuat demikian, lebih baik slogan 1 Malaysia dicampak ke dalam tong sampah,” kata Kian Ming. – Roketkini.com