Berita

Anak muda Melayu DAP desak Ismail Sabri tarik balik kenyataan perkauman

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Aktivis muda Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri menarik semula kenyataannya menyeru pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina.

Kenyataan tersebut disifatkan mereka sebagai bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi mencerminkan sikap pemimpin Barisan Nasional yang cuba menyemarakkan api perkauman.

“Isu kenaikan harga barang bukan disebabkan oleh identiti kaum dan agama,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Kami menggesa Datuk Seri Ismail Sabri supaya menarik semula kenyataan yang menyemai rasa kebencian dan perkauman yang bakal menjejaskan peluang saksama dalam perniagaan bagi semua kaum di negara ini,” tegas mereka lagi.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Dyana Sofya. Syerleena Rashid, Edry Faizal, Muhammad Nazreen, Young Syefura, Raja Ahmad Iskandar Fareez, Masyhur Abdullah. Shakir Ameer dan Nor Miswary.

Jabatan Perdana Menteri petang tadi mengeluarkan kenyataan membela pendirian Ismail, dan mendakwa bahawa perkongsian Facebook beliau ditujukan kepada semua peniaga, dan bukan peniaga dari kalangan kaum tertentu.

Padahal, Ismail dengan jelas menulis “…selagi melayu tdk berubah.. selagi itu lah cina ambil kesempatan untuk tindas melayu.”

Beliau terlebih dahulu menulis bahawa, “..majoriti pengguna adalah melayu, cina adalah minoriti.. kalau melayu boikot perniagaan mrk, mrk tentu tiada pilihan utk turunkan harga”.

Ismail juga mendakwa Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo Ham sebagai seorang yang ‘anti-Islam’ dan dikatakan pemilik Old Town White Coffee, yang dirahui status halalnya.

Ngeh telah pun menggesa Ismail menarik balik kenyataannya sekiranya tidak mahu dibawa ke muka pengadilan. – Roketkini.com