Berita

DAP gesa KM Sabah tangguh cukai SST, temui pengusaha makanan laut

Himpunan nelayan dan pengusaha makanan laut membantah cukai jualan di sebuah jeti di Tawau.

TAWAU, 5 FEB: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman digesa segera menangguhkan cukai jualan (SST) lima peratus keatas eksport makanan laut di negeri ini.

ADUN Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, Musa tidak harus melepaskan tanggungjawabnya dan perlu bertemu sendiri pengeksport industri makanan laut yang terjejas akibat pelaksanaan cukai tersebut.

“Jangan lepaskan tanggungjawab pada orang lain.

“Tak guna para pengusaha menemui menteri lain seperti Datuk Mary Yap dan Datuk Yahya Hussin kerana mereka tidak boleh membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chan yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah berkata demikian mengulas selepas himpunan bantahan terhadap cukai jualan 5 peratus di Tawau, Rabu lalu.

Sementara itu, jurucakap kumpulan bantahan itu, YS Tan berkata, pelaksanaan cukai terbabit akhirnya akan menjejaskan sektor lain selain eksport makanan laut.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan pengeksport sebelum sebarang tindakan drastik dibuat.

“Cukai ini tidak terhad kepada pengeksport sahaja, tetapi memberi kesan kepada semua sektor berkaitan termasuk pengilang, pengangkutan, nelayan dan penternak ikan,” ujarnya. – Roketkini.com