Berita

Halang Teresa ke Sabah, tekanan politik kepada pembangkang

Teresa dihalang masuk ke Sabah selepas tiba di lapangan terbang Sandakan semalam

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Tindakan menghalang Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok ke Sabah bermotif politik untuk menekan pembangkang, kata Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan.

DAPSY Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya hari ini menegaskan tidak ada sebab imigresen mahupun Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menghalang Teresa ke Sabah berikutan beliau pergi ke sana untuk melakukan perkara baik, bukan sebaliknya.

“Kami memahami Sabah diberi kuasa menafikan kemasukan kepada mana-mana individu jika mereka dilihat boleh membawa ancaman kepada negeri.

“(Namun) kami ingin bertanya kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, adakah seseorang yang memperjuangkan Perjanjian 20 Perkara dianggap sebagai musuh negara?” soal mereka.

Dalam kenyataan sama, Imigresen Sabah diminta memberi jawapan sebab halangan terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu

“DAPSY Wilayah Persekutuan merasa terkejut dengan keputusan Imigresen Sabah menghalang Teresa memasuki negeri itu tanpa diberikan sebarang sebab,” ujarnya.

Sehubungan itu, Imigresen Sabah digesa menarik balik serta merta sekatan terhadap mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Musa Aman sebagai Ketua Menteri sepatutnya menghalang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri dari memasuki Sabah kerana telah mengeluarkan kenyataan perkauman baru-baru ini,” tegasnya. – Roketkini.com