Berita

Ismail Sabri mesti insaf, mohon maaf dan letak jawatan – Rara Othman

GUA MUSANG, 5 FEB: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri sewajarnya insaf dan meletakkan jawatannya kerana telah menghina intelek rakyat Malaysia, terutamanya selepas Pejabat Perdana Menteri terpaksa mempertahankannya.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya, Ismail dengan jelas menulis “…selagi melayu tdk berubah.. selagi itu lah cina ambil kesempatan untuk tindas melayu.”

Beliau sebelum itu menulis bahawa, “..majoriti pengguna adalah melayu, cina adalah minoriti.. kalau melayu boikot perniagaan mrk, mrk tentu tiada pilihan utk turunkan harga”.

Pejabat Perdana Menteri petang semalam mengeluarkan kenyataan membela pendirian Ismail, dan mendakwa bahawa perkongsian Facebook beliau ditujukan kepada semua peniaga, dan bukan peniaga dari kalangan kaum tertentu.

“Adakah Pejabat Perdana Menteri dan Ismail sendiri merasakan rakyat tidak tahu membaca?” ujar aktivis DAP Young Syefura Othman ketika dihubungi Roketkini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rara, menggesa Ismail untuk segera memohon maaf di atas keceluparannya dan mengakui kesilapan serta segera meletakkan jawatan.

“Amat memalukan apabila seorang menteri terpaksa meminta nyawa daripada Perdana Menteri setelah berbuat kesilapan dan terlalu ego untuk mengakui kesilapannya,” tambah beliau yang baru sahaja dipertanggungjawabkan menyusun gerak kerja DAP sebagai sebahagian daripada rakan kongsi Gabungan Impian Kelantan baru-baru ini.

“Kita faham apa mesej yang cuba menteri Umno ini sampaikan. Kita boleh baca tulisannya di Facebook. Ini bukan soal ‘misquote’ atau tidak faham konteks,

“Ismail Sabri patut malu apabila orang lain turut terheret bermain sentimen perkauman lantaran kecuaiannya. Kita semua tahu isu harga barang naik bukan isu kaum,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, Ismail dan juga pemimpin Umno yang menyokongnya kelihatan cuba menggagalkan agenda moderat yang cuba dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan terus mencetuskan ketegangan dan kebencian kaum.

“Menteri Umno dan politik perkauman memang tak boleh dipisahkan,” tambah Rara lagi.

Dalam perkongsian Facebook yang sama, Ismail juga mendakwa Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo Ham sebagai seorang yang ‘anti-Islam’ dan dikatakan pemilik Old Town White Coffee, yang diragui status halalnya.

Ngeh telah pun menggesa Ismail menarik balik dakwaan tersebut atau berhadapan tindakan undang-undang. – Roketkini.com