Berita

Najib lebih suka dilihat ‘bodoh’ dari kutuk kenyataan perkauman

 

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Tidak ada gunanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercakap tentang Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan mempromosikan ‘1Malaysia’ tapi akhirnya mempertahankan kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Tony Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, kenyataan Najib semalam kononnya kata-kata Ismail ditujukan kepada semua peniaga bukan peniaga tertentu adalah amat mengecewakan dan satu lagi pembohongan berulang UMNO.

“Kegagalan Najib mengecam Ismail atas kenyataan perkauman tersebut adalah amat mengejutkan dan mengecewakan sedangkan beliau selama ini berkhutbah menggalakkan ‘1Malaysia’ dan GMM.

“Nampaknya Najib lebih suka kelihatan bodoh daripada melakukan usaha mengutuk perkauman melampau dan pembohongan berniat jahat ahli-ahli kabinetnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, tindakan Najib mempertahankan Ismail juga mengulangi perilaku Menteri Propaganda Nazi Joseph Goebbels.

“Dalam petikan kenyataan yang sering dikaitkan dengan Goebbels, beliau pernah menyebut ‘jika kamu ulangi suatu pembohongan acapkali, orang akan percaya dan kamu sendiripun akan mempercayainya’

“Jelas pemimpin dan menteri UMNO-BN sedang menderita sindrom ‘pembohongan besar’ apabila mempercayai penipuan berniat jahat mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Ismail melalui laman Facebook menyarankan pengguna Melayu untuk memboikot perniagaan kaum Cina supaya harga barangan turun.

Beliau juga mempersoalkan sikap pengguna Melayu yang masih makan di kedai milik kaum Cina yang diragui status halalnya walaupun terdapat banyak restoran Melayu lainnya.

Ismail turut memberi contoh bahawa restoran kopitiam Old Town White Coffee yang kononnya dimiliki Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham patut diboikot.

Kata Ismail, Ngeh adalah keluarga DAP Perak yang terkenal dengan anti-Islam.

Old Town Kopitiam adalah sebuah syarikat awam yang tidak mempunyai kaitan dengan Ngeh atau keluarganya.

Tokoh DAP Perak itu telah membuat laporan polis, selain mendesak Ismail menarik balik kenyataannya jika tidak mahu dibawa ke mahkamah. – Roketkini.com