Berita

Pengurus IT ibu pejabat DAP lapor polis, gesa siasat fitnah bekas senator BN

Pengurus IT ibu pejabat DAP Goh Kheng Teong (kiri) bersama Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo 

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Pengurus IT ibu pejabat DAP Goh Kheng Teong membuat laporan polis terhadap penulis blog UMNO Syed Akbar Ali atas status melampau dalam akaun twitternya.

Goh, ditemani Ketua Biro Guaman Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo membuat laporan di Balai Polis Tun H.S Lee, Jalan Stadium kira-kira jam 11 pagi ini.

Penulis blog ‘Hidup Tuah’ Datuk Akbar Ali dalam dalam kiriman twitternya menulis kenyataan berbaur perkauman menggambarkan orang Cina memusuhi orang Melayu sebelum insiden 13 Mei.

Datuk Akbar Ali yang juga bekas senator itu turut meletakkan gambar Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menyerupai Pemimpin Republik Rakyat China Mao Tse Tung.

Antara kenyataannya adalah “Mati Melayu”, “KL sekarang Cina punya” dan beberapa lagi petikan dengan kapsyen ‘Ungkapan Lim Kit Siang pada 13 Mei?’.

Lim Kit Siang menjadi mangsa fitnah bekas senator.

Semalam, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Akbar Ali kerana mengaitkan dirinya dengan peristiwa 13 Mei, kononnya beliaul pencetus peristiwa berdarah itu.

Kit Siang juga mengatakan Akbar Ali menuduhnya sebagai komunis, bersikap perkauman dan anti-Melayu.

“Bukan sahaja saya tidak pernah menyebut semua ini, malah perkataan ini semua tergolong dalam kategori yang tidak pernah saya gunakan sepanjang hidup.

“Saya juga tidak berada di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mei 1969 ketika rusuhan 13 Mei, dan ini boleh dibuktikan oleh Cawangan Khas melalui rekod mereka,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.-Roketkini.com