KUALA LUMPUR, 6 FEB: 1MDB masih mendiamkan diri walaupun tarikh akhir pembayaran semula hutang RM2 bilion syarikat itu berakhir pada 31 Januari.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kegagalan 1MDB itu menjadi bahan jenaka akhbar kewangan antarabangsa Wall Street Journal dan Financial Times.
“Apa yang berlaku dengan hutang tertunggak RM2 bilion 1MDB?
“Jika 1MDB sekali lagi gagal membayar hutang tersebut, sistem kewangan Malaysia bakal runtuh di bawah tekanan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, sejak tiga minggu lalu spekulasi mengenai bagaimana 1MDB akan membayar semula hutang tersebut hangat diperkatakan.
Ujarnya, terdapat spekulasi sama ada ia akan sekali lagi memohon lanjutan tempoh pembayaran atau mendapatkan bantuan kecemasan dari jutawan Tan Sri Ananda Krishnan untuk menyelesaikannya.
The Edge Financial Daily melaporkan minggu lalu Ananda dipercayai telah memeterai perjanjian dengan 1MDB untuk membantu syarikat itu membayar hutang kepada Malayan Banking Bhd (Maybank) dan RHB Bank Bhd pada 31 Januari.
Kata Tony, pasaran kewangan negara kini dalam keadaan genting berikutan ketidakupayaan 1MDB membayar semula pinjamannya, yang merupakan sebahagian daripada hutang luar biasa berjumlah RM42 bilion.
“Pinjaman RM2 bilion ini sendiri adalah sebahagian daripada hutang yang disusun dan dijadualkan semula berikutan kegagalan mereka membayarnya pada November 2013.
“Perkara ini terjadi walaupun 1MDB baru-baru ini mendakwa bahawa mereka sepenuhnya menebus pelaburan RM3.9 bilion di Kepulauan Cayman.
“Tidak ada siapa nampaknya tahu di mana wang itu, dan mereka yang tahu pula menolak bertanggungjawab terbuka terhadap tindakan 1MDB,” ujar Tony
Justeru itu, Tony mengulangi gesaan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan audit khas oleh Ketua Audit Negara atau juruaudit bebas untuk membongkar penipuan kewangan 1MDB. – Roketkini.com