Berita

DAP akan terus bersama Pakatan Rakyat atas asas Dasar Bersama – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Walaupun konflik antara Pakatan Rakyat menyaksikan perselisihan pendapat di kalangan sebahagian pemimpinnya, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mengatakan DAP akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Penegasan itu dinyatakan semula oleh Kit Siang dalam sebuah forum anjuran Roketkini.com bertajuk ‘Benarkah Pilihanraya Kerajaan Tempatan Akan Hakis Hak Melayu?’ menampilkan panelis Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang Syerleena Abdul Rasyid.

“DAP akan terus komited  bersama berjuang dengan Pakatan Rakyat walaupun ada konflik antara kami.

“Namun, ia haruslah berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat,” tegas Kit Siang.

Ketika ditanya oleh peserta forum kenapa DAP menimbulkan konflik yang dilihat meretakkan boleh meretakkan Pakatan Rakyat, Kit Siang menjelaskan ia bukan soal konflik tapi soal prinsip perjuangan.

“Jelas sekali isu Pilihanraya PBT bukannya agenda baru, DAP sudah perjuangkannya sejak tahun 1966.

“Bahkan, ia termaktub dalam Dasar Bersama PR yang mahu menguatkan pendemokrasian Pihak Berkuasa Tempatan.

“Saya masih ingat, sewaktu saya jadi Ahli Parlimen dan berbahas di Dewan Rakyat pada tahun 1970, ahli-ahli parlimen PAS waktu itu menyokong Pilihanraya PBT.

“Ia bukan soal baru nak perjuang dan konflik, tetapi adalah atas dasar prinsip perjuangan bersama PR,” tegas beliau.

Tambah Kit Siang lagi, PAS juga tidak pernah sebelum ini membangkitkan hal ini dan dilihat bersetuju dengan pendemokrasian menerusi ‘undi ketiga’. Malahan, banyak pemimpin kanan dan veteran PAS bersetuju dengan apa yang diperjuangkan DAP.

“Saya berani kata, dan sanggup dibetulkan jika saya silap, tidak pernah Muktamar Tahunan PAS ada usul dari perwakilan yang tidak mahu pelaksanaan Pilihanraya PBT.

“Jika ada tunjukkan muktamar yang mana, di mana tempatnya dan apa usulnya?” pinta Kit Siang. -Roketkini.com