Berita

“Tak perlu ragu hak rakyat Malaysia memilih rakyat Malaysia yang lain”

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata ahli dan pimpinan PAS tidak seharusnya takut jika pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan kerana ia merupakan sebahagian proses dalam negara demokrasi.

Berucap dalam forum Benarkah Pilihanraya Kerajaan Tempatan Akan Hakis Hak Melayu di Mandarin Court Hotel, semalam katanya, rasa takut tersebut seharusnya dibuang jauh dan dibiarkan hanya menyelebungi kelompok ekstremis seperti Perkasa dan ISMA.

“Saya tidak nampak sebarang masalah dalam usaha mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

“Mengapa kita perlu meragui hak rakyat Malaysia memilih rakyat Malaysia yang lainnya dalam satu proses pemilihan di dalam Malaysia sendiri?

“Pada saya, pilihan raya kerajaan tempatan merupakan langkah terbaik dalam kerangka demokrasi ke arah akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran,” katanya.

Tambah Hanipa, PAS sebelum ini bersetuju untuk menghormati polisi bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) sebagai prinsip utama yang terkandung antaranya usaha pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap perbezaan pandangan dalam PR berhubung isu ini dapat diselesaikan segera, selok-eloknya pada mesyuarat majlis pimpinan PR, Ahad ini.

“Persoalannya kini adakah kita (PR) benar-benar serius? Jika kita serius mengukuhkan demokrasi, pilihanraya kerajaan tempatan tidak wajar ditolak.

“Jadi saya berharap pada mesyuarat PR Ahad ini, kita semua dapat sekurang-kurang keluar dengan pendirian tegas secara bersama,” ujarnya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang hadir ke mesyuarat pimpinan PR bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

Kata Guan Eng, tanpa kehadiran Hadi, mesyuarat tidak dapat diteruskan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah menetapkan bahawa semua keputusan harus dibuat secara bersama dengan kehadiran semua pemimpin PR.  – Roketkini.com