Berita

“UMNO yang beruntung dari pilihanraya PBT, bukan DAP”

SERDANG, 6 FEB: UMNO Selangor seolah-olah takut ditewaskan sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan diadakan di kawasan Melayu, sedangkan ‘undi ketiga’ itu menguntungkan UMNO di Selangor.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming dalam kenyataannya hari ini menyelar tuduhan melulu ADUN Permatang Sulaiman Razak terhadap DAP ‘mahu memonopoli kerusi dan jawatan bandaran sekaligus mengenepikan hak kaum lain.

“Ini tuduhan tak berasas. Sebenarnya, pihak yang paling beruntung daripada pilihanraya PBT di Selangor adalah UMNO, bukannya DAP,” katanya.

Jelas Kian Ming, UMNO menang 12 daripada 56 kerusi DUN Selangor bersamaan 21 peratus, dan empat kerusi parlimen bersamaan 18 peratus.

Dengan jumlah itu UMNO mempunyai peratusan sokongan yang besar.

“Walaupun ada sokongan 18 peratus, UMNO tak ada wakil dalam mana-mana PBT. Kalau ada pilihanraya dengan sokongan sebanyak itu UMNO boleh menang jawatan di PBT.

“Sekurang-kurangnya 50 dari 100 ahli majlis dapat diwakili UMNO jika mereka menyertai pilihanraya PBT,” tambah Kian Ming.

Mengikut bancian penduduk 2010, 10 dari 12 PBT Selangor mempunyai komposisi penduduk majoriti Melayu, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Manakala (Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut memiliki penduduk Melayu, melainkan Majlis Perbadaran Subang Jaya (MPSJ).

Kata Kian Ming, tidak benar dakwaan Sulaiman bahawa kawasan bandaran lebih memihak kepada DAP di samping tuduhan mahu bolot belanjawan besar di kawasan itu.

“Kemungkinan besar UMNO kuasai Majlis Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor melalui pilihanraya PBT memandangkan sokongan kuat UMNO di kawasan-kawasan ini.

“Adakah UMNO tak yakin boleh kalahkan DAP dalam pilihanraya PBT di kawasan majoriti Melayu seperti di Shah Alam dan Ampang?

“UMNO terus menentang pilihanraya PBT di Selangor.

“Adakah mereka tak yakin kebolehan sendiri menarik sokongan rakyat, atau mereka tidak mahu berkhidmat kepada rakyat melalui kerajaan tempatan?” soal Kian Ming lagi. – Roketkini.com