Berita

DAP anggap menteri dangkal kerana banding Ismail Sabri dengan ISIS

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Perbandingan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob tidak seburuk tindakan militan ISIS nyata dangkal.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, apakah Hishamuddin mahu melihat peniaga Cina dibakar hidup-hidup seperti dilakukan militan ISIS ke atas juruterbang Jordan, untuk mewajarkannya mengecam kenyataan perkauman Ismail Sabri.

“Nampaknya trend mengarut menteri Kabinet telah merebak dan menjangkiti Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein pula,” kata Lip Eng dalam kenyataannya hari ini.

Media antarabangsa minggu ini melaporkan sebaran klip video yang menunjukkan ahli kumpulan militan ISIS membakar juruterbang warga Jordan Maaz al-Kassasbeh.

Agensi berita AFP melaporkan pihak berkuasa di Jordan mengesahkan kematian juruterbang yang berusia 26 tahun itu, manakala kesahihan video ini masih belum ketahui.

Lip Eng mempersoalkan tindakan ganas kumpulan ISIS itu tidak ada apa kena mengena dengan seruan Ismail Sabri Yaakob yang menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina.

“Sewajarnya sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau patut lebih bijak dan menggesa supaya proses undang-undang dihormati dan Ismail diberi peluang memberi kenyataan kepada polis supaya kebenaran dapat ditegakkan.

“Adalah penting bagi siasatan dimulakan segera, dengan kenyataan Ismail mengenai saranannya di Facebook supaya peniaga Cina diboikot oleh pengguna Melayu itu diperjelaskan kepada pihak polis.

“Ini kerana Pejabat Perdana Menteri bukan badan pemutus yang berhak memberi interpretasi kepada kenyataan perkauman Ismail itu,” ujarnya.

Biar mahkamah bersihkan nama Ismail

Pada 4 Februari, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kenyataan di media sosial dibuat ismail Sabri bertujuan menegur peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak dan diesel telah turun.

Justeru itu kata Lip Eng, sepatutnya Ismail dibersihkan oleh mahkamah sekiranya benar dakwaannya bahawa kenyataan Facebook terbabit ditujukan kepada semua peniaga, dan bukan spesifik terhadap satu kaum sahaja.

“Saya yakin rakyat Malaysia yang rasional dan berakal waras telah membaca kenyataan Ismail dan telah mempunyai kefahaman sendiri.

Namun sekiranya beliau yakin beliau di pihak yang benar, tiada salahnya untuk beliau segera memberikan kenyataan kepada pihak polis supaya kertas siasatan dapat segera disiapkan,” kata Lip Eng – Roketkini.com