Berita

DAP Johor hairan Menteri Besar, kerajaan negeri takut ditanya tentang isu balak

MUAR, 7 FEB: Adakah Menteri Besar dan kerajaan negeri Johor mahu menyembunyikan sesuatu berikutan penolakan soalan tentang isu pembalakan di sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan minggu depan?

Ahli Dewan Negeri Bentayan, Chua Wee Beng, mahu Datuk Seri Khaled Nordin menjelaskan mengapa soalan yang meminta kerajaan negeri mendedahkan nama syarikat yang diberikan lesen pembalakan di seluruh negeri Johor dari 2009-2014, telah ditolak.

Katanya, alasan teknikal menggunakan peraturan mesyuarat untuk menolak soalan beliau adalah remeh dan tidak kukuh.

“Saya telah membawa isu pembalakan ini di dalam mesyuarat kedua bagi penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor Ke-13 pada hujung tahun 2014 dan ketika itu juga soalan saya ditolak. Kali ini sekali lagi soalan saya ditolak.

“Persoalannya, apakah yang menyebabkan Menteri Besar dan kerajaan negeri begitu enggan untuk menjawap soalan mengenai kegiatan pembalakan di negeri Johor ini?

“Apakah yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat umum dalam soal kegiatan pembalakan ini?’ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Wee Beng yang juga Bendahari DAP Johor berkata kerajaan negeri seharusnya bersedia untuk berkongsi maklumat dengan rakyat supaya masyarakat dapat menjadi mata dan telinga untuk membantu mengelakkan pembalakan haram.

Katanya, jika tidak ditangani dengan baik, pembalakan tidak tersusun memboleh membawa kebinasaan terhadap flora dan fauna seperti yang dialami di Cameron Highlands dan beberapa kawasan di negeri lain.

Beliau meminta Khaled dan pentadbirannya bersikap lebih berani dan terbuka dalam memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri. – Roketkini.com