Berita

DAP sedia kerjasama dengan semua pihak, termasuk BN, demi perpaduan nasional

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Usaha ke arah perpaduan nasional sudah lama dibawakan oleh DAP tetapi sering mendapat halangan akibat amalan politik perkauman dan keagamaan yang sempit.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata DAP yang berteraskan kepada prinsip kepelbagai kaum dan agama telah berkali-kali meminta kepimpinan negara, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk duduk bersama bagi membincangkan isu-isu bersama.

Katanya, sudah beberapa kali DAP mengajak penatdbiran Najib untuk bersama-sama tanpa mengira parti politik duduk semeja membincangkan isu-isu besar seperti perpaduan kaum dan banjir di Pantai Timur Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, apabila aktivis hak asasi dan kedaulatan undang-undang, Datuk Ambiga Sreenivasan mencadangkan ‘Projek Rakyat’ sebagai langkah ke arah perpaduan nasional, Kit Siang dengan tangan terbuka menyokong usaha tersebut.

Ketika ditanya wartawan apakah DAP akan mulakan langkah mendekati Najib, pemimpin veteran DAP itu menjelaskan usaha membawa kebaikan kepada rakyat tanpa berpihak kepada mana-mana parti telah lama menjadi agenda DAP.

“Kita sambut baik seruan Ambiga tentang cadangan ‘Projek Rakyat’ yang mahu perpaduan nasional (atas isu-isu bersama) di antara kerajaan dan pembangkang.

“Namun, Kerajaan Najib mesti respon seruan kita dahulu. Barulah kita mulakan langkah seterusnya. Jika Najib tidak mahu respon, kita tidak boleh gerakkan usaha ini,” ujar beliau.

Dalam forum bertajuk ‘Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’ anjuran Roketkini.com di sini hari ini, Ambiga sebagai salah seorang panelis telah menyeru seluruh pimpinan negara, baik kerajaan mahupun pembangkang, untuk memulakan langkah perpaduan nasional.

“Ada empat isu utama harus jadi perhatian kerajaan dan pembangkang dalam ‘Projek Rakyat’ ia adalah isu bencana banjir, ekonomi, isu perkauman dan agama, dan demam denggi.

“Jika kita boleh ambil empat perkara ini sebagai langkah pertama perpaduan nasional, itu sudah menjadi satu kejayaan,” katanya. – Roketkini.com