Berita

Ismail Sabri main politik rasis untuk tutup kegagalan sebagai Menteri, kata DAPSY

KLUANG, 7 FEB: Datuk Seri Ismail Sabri cuba menutup kegagalannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta kelemahan pengurusan ekonomi kerajaan Barisan Nasional, dengan mengapi-apikan sentimen perkauman anti-Cina.

Menurut Setiausaha Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Tan Hong Pin, kenyataan rasis Ismail dilontarkan sebagai silap mata untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada menyedari kelemahan kerajaan UMNO-BN.

Katanya, Ismail yang kononnya mahu menjadi juara Melayu telah gagal menaikkan pendapatan dan mutu hidup kaum nelayan dan petani yang kebanyakannya adalah orang Melayu.

“Walaupun setiap tahun di bawah Kementarian Pertanian dan Industri Asas Tani, jutaan ringgit diperuntukkan untuk pelbagai agensi dan projek pembangunan pertanian, golongan petani dan nelayan tidak dimanfaat sepenuhnya dan hidup mereka masih susah.

“Walaupun harga ikan, sayur, dan padi semakin mahal, keuntungan tersebut tidak pula mengalir ke petani dan nelayan biasa. Pernahkah pihak kerajaan terutamanya kementerian yang bertanggungjawab dalam isu ini mengkaji punca masalah ini dan menyelesaikannya?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hong Pin berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga gagal menstabilkan harga makanan di pasaran dan mempelbagaikan bekalan makanan.

Beliau mempersoalkan mengapa Malaysia masih mengimport beras, ikan, sayuran dan makanan asas lain sedangkan negara mempunyai ramai petani Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun yang bijak, rajin dan berinovasi.

“Kenapa kita masih perlu bergantung pada import yang mengakibatkan harga barang mahal? Kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab terbesar dalam isu ini khususnya Menteri Pertanian,” katanya.

Hong Pin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol berkata beliau telah membuat laporan polis terhadap kenyataan rasis Ismail di IPD Kluang di sini pagi tadi.

Menurutnya, kenyataan Ismail adalah tidak bertanggungjawab khasnya pada kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin negara kerana boleh merosakkan keharmonian antara kaum.

“Saya meminta Menteri fokuskan usaha pada pertingkatkan hasil pertanian, naikkan pendapatan dan mutu hidup petani dan nelayan.

“Malaysia tidak kurang dengan pakar yang cerdik, petani yang tekun, tetapi selagi menteri dan pemimpin kerajaan mengambil pendekatan sempit, kita akan terus bersengsara,” tambah beliau. – Roketkini.com