Berita

Arul Kanda cipta alasan ‘dana tunai’ dari Pulau Cayman tak boleh bayar pinjaman 1MDB

PETALING JAYA, 8 FEB: 1MDB jelas sedang berhempas-pulas untuk mencari wang bagi membayar hutang kepada Maybank Bhd dan RHB Bank Bhd.

Menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, hal ini jelas daripada alasan yang diberikan Ketua Eksekutif 1MDB Arul Kanda kononnya wang RM3.9 bilion yang ‘ditebus semula’ daripada Pelaburan di Pulau Cayman tidak boleh digunakan untuk membayar pinjaman pokok 1MDB kerana perlu disimpan untuk membayar faedah tahunan ke atas bon luar negeri.

“Arul Kanda cuba beritahu kita kononnya ‘duit tunai’ 1MDB yang disimpan di luar negara diguna untuk bayar faedah berjumlah RM1.4 bilion setahun di masa depan.

“Padahal faktanya, 1MDB ada pinjaman RM2 bilion yang sudah lama tertunggak,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Akhbar Singapura Business Times melaporkan kenyataan Arul Kanda bahawa dana dari Cayman tidak akan diguna untuk membayar pinjaman kerana 1MDB mahu menyimpan dana RM3.9 bilion itu dalam dolar Amerika untuk membolehkannya membayar faedah berkadar RM1.4 bilion setahun ke atas bon bernilai RM23.06 bilion.

“Alasan Arul itu betul-betul menggelikan hati. Apa dia ingat orang Malaysia ini terlampau naif untuk percaya apa yang dia kata?” soal Tony.

Justeru itu, Tony mendesak agar penjelasan diberikan mengapa 1MDB lebih sanggup mendapatkan pinjaman sementara daripada jutawan Ananda Krishnan, dengan syarat-syarat yang berkemungkinan besar tidak akan menguntungkan 1MDB, sedangkan dana syarikat ada.

“Kenyataan membingungkan terbaru daripada CEO baru 1MDB untuk menjelaskan tindakan 1MDB memaksa kita untuk merumuskan bahawa beliau bercakap kosong.

“Kestabilan dan kredibiliti seluruh sistem kewangan Malaysia sedang dipertaruhkan. Jika 1MDB gagal membayar hutang RM2 bilion, semua hutang tertunggak 1MDB sampai tarikh tamat.

“Dalam keadaan itu, sistem kewangan Malaysia akan runtuh kerana beban yang terlalu berat dan nilai keupayaan berhutang kerajaan akan merosot teruk,” tegas Tony. – Roketkini.com