Berita

DAP komited bersama Pakatan, isu hudud dan pilihanraya PBT ke mesyuarat khas

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat (MPR) hari ini mengulangi komitmen untuk terus bersama dalam gabungan pakatan berasaskan dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi mengulang komitmen untuk terus bersama dalam satu gabungan.

“Tentang isu Enakmen Hudud Kelantan dan Pilihanraya PBT, mesyuarat khas akan disusuli selepas ini,” kata Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP LIm Kit Siang, Presiden PKR Datuk Ser Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Setelah empat bulan tidak bermesyuarat, Pakatan Rakyat hari ini duduk semeja difahamkan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk keputusan perbicaraan Anwar, cadangan enakmen hudud Kelantan dan pilihanraya PBT.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti-parti komponen Pakatan Rakyat akan terus bersama sebagai sebuah pakatan, walau apa pun keputusan perbicaraaan kes Fitnah 2 ke atas Anwar..

“Walaupun menjelang perbicaraan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang berkemungkinan dipenjarakan. Pembangkang akan terus bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat,” kata Guan Eng.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan isu enakmen hudud dan pilihanraya PBT, Anwar berkata perkara tersebut akan dimaklumkan selepas tarikhnya ditetapkan.

“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang,” kata Anwar. – Roketkini.com