Berita

Di bawah tiga PM terawal, menteri seperti Ismail telah lama dipecat

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri terawal iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, menteri seperti Datuk Seri Ismail Sabri telah lama dipecat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Ketua Parlimen DAP Lim Kits Siang berkata, ini kerana Perdana Menteri sekarang ini, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah membenar dan membiarkan kenyataan perkauman fanatik yang sama sekali tidak boleh dipertahankan.

“Hari ini adalah ulang tahun ke-112 Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa jika episod ini berlaku dalam masa Tunku sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri sudah tentu akan diminta memohon maaf, atau mungkin dipecat daripada kabinet Tunku,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Malah ujar Kit Siang, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pun akan melakukan tindakan serupa sekiranya perkara tersebut berlaku di bawah pentadbiran mereka.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Dr Mahathir Mohamad Ismail kerana membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai perniagaan kaum Cina, mengatakan harga barangan yang naik tiada kaitan dengan kumpulan etnik peniaga.

Bekas perdana menteri itu berkata, daripada memainkan isu perkauman, Menteri Perniagaan dan Industri Asas Tani itu sepatutnya mencari punca sebenar masalah yang dihadapi.

Dalam pada itu kata Kit SIang, kesemua 34 menteri kabinet turut melakukan kesilapan besar apabila tidak menyatakan bantahan terhadap kenyataan Ismail.

“Adakah ini kerana beliau (Najib) adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah 58 tahun negara? soal Kit Siang.

Tambahnya, Ismail sebenarnya telah mengkhianati sumpah jawatan Menteri, untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama.

“Malaysia tidak boleh memiliki Menteri yang memiliki cara berfikir berbeza, berbincang dengan cara berbeza, dan kemudian berlainan cara tindakannya.

“Mesyuarat kabinet Rabu depan, (11 Feb) perlu mengkaji semula kes Ismail Sabri, dan beliau tanpa syarat harus menarik balik kenyataannya dan memohon maaf,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com