Berita

Tingkat kualiti pengangkutan awam JB dari usaha kecil, bukan projek mega

JOHOR BAHRU, 8 FEB: Kualiti pengangkutan awam di Johor Bahru perlu ditingkatkan melalui usaha-usaha kecil yang berterusan, dan bukannya melalui projek mega secara mengejut, kata ADUN Senai Wong Shu Qi.

Menurutnya, terdapat pencanggahan rancangan berdasarkan kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Liow dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Pengangkutan mengkaji semula cadangan Masteel dan KUB untuk membina sistem Rapid Transit Ringan.

Sebaliknya, Abdul Rahman mencadangkan pemasangan perkhidmatan trem di pusat bandar.

“Dua sistem ini tidak bercanggah antara satu sama lain, tetapi ia tidak memenuhi permintaan yang berbeza.

“Kita jangan lupa bahawa masih terdapat perkhidmatan bas Rapid Transit dan sistem komuter dalam Pelan Tindakan Pengangkutan.Iskandar Malaysia,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Tambahnya, terdapat rangkaian 100 kilometer landasan kereta api sedia ada menghubungkan utara Iskandar Malaysia ke pusat bandar Johor Bahru, dan dari pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas.

“Walaubagaimanapun, semuanya kurang digunakan,” ujar Qhu Qi.

Tambah Shu Qi, Kementerian Pengangkutan perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi perkhidmatan rel, melalui penambahbaikan pengurusan KTMB.

“Kita tidak boleh membina satu lagi projek mewah hanya kerana sektor swasta mahu mempunyai satu lagi kontrak daripada kerajaan.

“Pengangkutan awam adalah keperluan utama pengguna, dan kerajaan tidak harus membiarkan sektor swasta berfikir tentang bagaimana untuk mereka bentuk sebuah sistem pengangkutan awam yang komprehensif.

“Mulakan dari asas, dan bukannya menjadikan projek mega dan mewah untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan awam Johor Bahru,” ujarnya. – Roketkini.com