Berita

DAP desak Rahman Dahlan dedah kos projek insinerator Kepong

KUALA LUMPUR, 9 FEB: DAP hari ini menggesa Menteri Perumahahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan agar telus mengenai pembinaan insinerator di Kepong dengan mendedahkan kos pembinaan, operasi dan selenggara kepada umum.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, biarpun Rahman telah pun menemui kumpulan NGO anti-insinerator Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) namun sehingga kini beliau masih enggan mendedahkan kos projek tersebut di Taman Beringin.

“Laporan terbaru menunjukkan bahawa bidaan untuk insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin telah ditumpukan kepada dua individu dan Rahman enggan mendedahkan syarikat yang terlibat dalam proses tender.

“Lebih merisaukan lagi, beliau juga enggan mendedahkan kos keseluruhan projek kecuali mengatakan bahawa kementeriannya tidak akan menanggung satu sen pun kos pembinaan dan hanya membayar tip bagi pelupusan sisa pepejal insinerator.

“Jika Rahman menyokong pendedahan terbuka, mengapa beliau tidak memberitahu orang ramai mengenai kos pembinaannya, bayaran tip dan pembiayaan bagi keseluruhan projek insinerator?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beberapa media sebelum ini menyatakan bahawa UEM Environment Sdn Bhd, DRB-Hicom Bhd, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan Puncak Niaga Holding Bhd adalah antara syarikat yang disenarai pendek bagi projek insinerator di Kepong.

Rahman telah mencadangkan untuk membuka loji insinerator bagi memproses 1,000 tan sisa setiap hari yang menelan belanja sebanyak RM800 juta, namun mendapat kritikan berikutan lokasinya terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan memberi risiko terhadap alam sekitar.

Setelah mendapat pelbagai kritikan, Rahman akhirnya menemui KTI dan beberapa penduduk pada 30 Januari lalu.

Bagaimanapun, menurut Kian Ming, Rahman ternyata telah gagal menangani kebimbangan KTI dan penduduk menerusi jawapan-jawapan beliau yang langsung tidak menyakinkan.

“Kegagalan Rahman mendedahkan kos pembinaan, pengendalian, dan penyelenggaraan adalah satu persendaan terhadap proses tender terbuka antabangsa yang pernah beliau janjikan sebelum ini,” ujarnya. -Roketkini.com