Berita

Impian Kelantan alu-alukan lebih ramai sukarelawan

PASIR TUMBOH , 9 FEB: Penyelaras Impian Kelantan Syefura Othman mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan untuk menyertai program Impian Kelantan.

Syefura ketika dihubungi Roketkini.com berkata demikian selepas tinjauannya ke Kampung Pasir Tumboh di Kelantan, minggu lalu.

“Kami perlukan lebih ramai sukarelawan untuk bantu roboh rumah yang telah rosak teruk bagi membina semula rumah-rumah baru.

“Buat masa ini, enam buah rumah sudah siap dibaiki dan sedang dicat, manakala 14 buah rumah lagi masih dalam pembinaan, dengan  20 buah rumah menunggu giliran untuk dibaiki,” kata aktivis muda DAP itu.

Tambah Syefura, pihaknya juga masih memerlukan bantuan dari orang ramai dan dermawan, antaranya bagi menampung kos membaikpulih tandas.

“Kos untuk baiki 57 buah tandas yang rosak berjumlah kira-kira RM 85,500. Kos boleh dikurangkan jika kita dapat tajaan bahan-bahan untuk bina tandas.

“Sekarang penduduk membuang air di sungai kerana tandas di rumah tak boleh digunakan,” jelasnya lagi.

Sambutan mesra penduduk Pasir Tumboh

Dalam pada itu, kata Syefura, inisiatif Impian Kelantan semakin dikenali penduduk setempat.

“Ini kali kedua saya melawat Pasir Tumboh. Orang di sini sangat ramah dan baik,” kata Syefura yang turut hadir ke program Maulidur Rasul di kampung itu bulan lalu.

Menurut Syefura, sukarelawan Impian Kelantan akan berada di Kampung Pasir Tumboh dari 19 hingga 21 Februari ini bagi membantu penduduk kampung mengecat rumah dan bergotong-royong membersihkan kawasan.

Impian Kelantan adalah inisiatif terbaru DAP melibatkan NGO tempatan, antaranya Yayasan Darul Hijrah, Cakna UT, Royalti Kelantan khusus bagi membina semula prasarana kawasan yang terlibat banjir di Kelantan.

Mendapat inspirasi dari Impian Malaysia, Impian Kelantan menekankan sudut kesukarelawan di kalangan masyarakat, dan berkongsi usaha memulihkan kehidupan mangsa banjir. -Roketkini.com