Berita

MCA tak berani gesa kabinet pecat Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook menyelar kenyataan MCA yang mendakwa DAP lebih menumpukan serangan terhadap sekutu parti ‘ketuanan Melayu’ itu berbanding mengecam Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri.

Anthony berkata, kenyataan Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan itu langsung tidak ada kebenarannya, kerana DAP secara konsisten menekan supaya Ismail dipecat dari kabinet jika berdegil enggan menarik balik serta memohon maaf atas kenyataan perkaumannya.

Malah menurut Anthony, DAP bersedia berdiri bersama MCA dan menandatangani kenyataan bersama menggesa Ismail menarik balik kata-katanya dan memohon maaf.

“Dengan syarat Menteri MCA mesti meletakkan jawatan jika kabinet gagal mengarahkan Ismail menarik balik dan memohon maaf pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

“Saya bersedia mewakili DAP untuk mengeluarkan kenyataan bersama Ka Chuan.

“Namun, persoalannya adakah MCA mempunyai keberanian menentang UMNO?

“Atau jika tidak, MCA harus ‘tutup kedai’ dan mengakui bahawa hanyalah ‘balaci’ UMNO,” kata Anthony.

Setiausaha Organisasi DAP itu turut menegaskan, Presiden MCA Liow Tiong Lai terbukti gagal mengotakan janjinya untuk menentang politik perkauman apabila tidak berani menggesa Ismail menarik balik kata-kata yang bersifat perkauman. – Roketkini.com