Berita

Pilihanraya PBT: DAP sedia bincang dalam mesyuarat Pakatan minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Sebarang isu melibatkan isu pemulihan semula pilihanraya kerajaan tempatan tempatan dan cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan perlu bersandarkan kepada prinsip bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tidak kira penyelesaian boleh dicapai atau tidak, ia mustahak dibincangkan terlebih dulu dengan melibatkan ketiga-tiga parti, selaras dengan prinsip keputusan secara muafakat.

Untuk itu katanya, beliau bersedia isu pilihanraya kerajaan tempatan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR minggu depan kerana sememangnya ia terkandung dalam dasar bersama PR.

“DAP tidak ada masalah jikaisu pilihanraya kerajaan tempatan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR.

“Bagi pelaksanaan undang-undang hudud, PAS sendiri mengakui bahawa ia tidak ada dalam Dasar Bersama atau manifesto Pilihanraya Umum PR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun ujar Guan Eng, PAS mendakwa undang-undang hudud tersebut telah diluluskan pada tahun 90-an sebelum PR ditubuhkan.

Ahli Parlimen Bagan itu menekankan, pemulihan semula pilihanraya kerajaan tempatan telah digambarkan secara tersirat dalam Dasar Bersama PR, yang disepakati pada Disember 2009 menggunakan ungkapan ‘mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan’.

Menurutnya lagi, pilihanraya kerajaan tempatan juga telah disebut dengan jelas dalam Manifesto Pilihanraya Umum PR Pulau Pinang 2013.

“Dalam Manifesto Pilihanraya Umum PR Selangor 2013 turut menyatakan secara khusus untuk ‘melaksanakan dasar menurunkan kuasa secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan’.

“Perkara ini telah dipersetujui ketiga-tiga parti di negeri masing-masing.

“Lagipun, tidak ada parti politik dalam PR sama ada melalui Perhimpunan Agung Tahunan atau Muktamar mengemukakan usul untuk menentang pilihanraya kerajaan tempatan,” ujarnya. – Roketkini.com