Berita

Semangat muhibah kariah Masjid Jalan Telaga Air dapat pujian Kerajaan Negeri Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 9 FEB: Kesabaran kariah dalam menahan lelaki yang membaling dipercayai daging babi ke dalam perkarangan Masjid Jalan Telaga Air hari ini mendapat pujian Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam kenyataannya hari ini Guan Eng mengecam jenayah yang dilakukan kerana dilihat mengganggu keharmonian antara kaum dan agama di kawasan tersebut.

“Saya terkejut ketika diberitahu peristiwa ini sudah banyak kali berulang.

“Kerajaan Negeri kecam sekeras-kerasnya terhadap serangan jenayah yang tidak bertamadun ini. Jelas sekali pelakunya menghidap masalah mental,” ujar Guan Eng.

Kejadian yang berulang itu mendapat perhatian serius Kerajaan Negeri kerana membabitkan risiko ketegangan agama. Ketua Menteri telah melawat masjid tersebut bagi mendengar sendiri aduan kariah.

Dalam lawatannya, penduduk memaklumkan kejayaan mereka menangkap lelaki berkenaan ketika mencampakkan bungkusan ke dalam masjid. Mereka menunggu suspek dengan meronda kawasan diiringi polis.

“Akhirnya, kariah telah tangkap lelaki bermasalah mental itu, seorang ahli jemaah Mohd Nasri bin Hassim berani kejar dengan motor dan menahan lelaki terbabit.

“Tindakan penduduk harus dipuji kerana sabar menunggu pelakunya dan tidak mahu bangkitkan perkara ini secara terbuka kerana bimbang adanya sensitiviti agama.

“Mereka beritahu perbuatan itu cuma dilakukan lelaki kurang siuman. Mereka tak mahu ada salah faham dan eksploitasi maklumat. Ini sikap yang membanggakan rakyat Pulau Pinang,” ujar Guan Eng.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri berjanji membantu dan meningkatkan keselamatan kariah masjid dengan pemasangan CCTV di seberang jalannya.

“Tindakan sensitif kariah Masjid Jalan Telaga Air buktikan bahawa ramai wira tidak didendang di Pulau Pinang, bekerja senyap-senyap demi pelihara dan lindungi keharmonian agama.

“Semangat muhibah inilah sebab utama kejayaan masa depan Pulau Pinang, berasaskan kerjasama dan hormat-menghormati sesama rakyat tanpa kira kaum dan agama,” ujar Guan Eng. -Roketkini.com.