Berita

“Bukan Anwar, tetapi Malaysia yang sedang dibicarakan” – Lim Kit Siang

PETALING JAYA, 10 FEB: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, bukan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan, sebaliknya yang dibicarakan adalah sistem kehakiman, perundangan dan pentadbiran Malaysia.

Dalam ceramah grand finale ‘Rakyat Hakim Negara’ di Padang Timur malam tadi Kit Siang berkata, selepas 16 tahun, rakyat Malaysia masih dipaparkan dengan isu sama, iaitu fitnah hanya kerana mahu membunuh karier seorang patriot dan nasionalis yang mahu menyelamatkan negaranya.

“Saya tak tahu sama ada beliau akan dipenjara atau tidak. Tetapi, ini bukannya ujian untuk Anwar sahaja. Ini adalah satu ujian kepada institusi, sama ada sistem kehakiman kita adil dan bebas.

“Walaupun ada ada tawaran kepada Anwar dari (kerajaan) Turki memujuknya jangan balik ke Malaysia kerana tidak ada keamanan, namun dia (Anwar) masih bersedia untuk pulang,” kata Kit Siang

Tambahnya, ketika bertanya soalan kepada Anwar sebab utama Ketua Pambangkang itu masih mahu pulang ke Malaysia walaupun berdepan sistem kehakiman pincang, Kit Siang berkata hanya pemimpin yang berani akan sanggup berdepan risiko.

“Kalau ujian sama dihadapi Najib (Razak) dan (Tun Dr) Mahathir, adakah mereka akan lari? soal Kit Siang disambut laungan ‘ya’ oleh hadirin.

“Tapi dia tak lari. Dia adalah patriot dan nasionalis Malaysia untuk memberikan khidmat terbaik kepada negara ini walaupun terpaksa menghadapi dilema sistem perbicaraan (yang pincang), kata Kit Siang.

Dalam pada itu, Kit Siang turut merakamkan solidariti kepada keluarga Anwar, terutama kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah yang cekal menghadapi dugaan.

“(Cabaran) bukan sahaja kepada Wan Azizah, tetapi kepada keluarganya. Kalau mengikut kepada undang-undang yang adil, kita semua tahu bahawa Anwar tak patut balik ke penjara,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Tambah Kit Siang, sama ada keputusan menyebelahi Anwar atau tidak, DAP akan terus memperjuangkan keadilan.

“Kita akan memperkukuhkan kekuatan dan menyusun perjuangan untuk membebaskan Anwar. Pada pilihanraya umum ke-14, kita tumbangkan Ummo, dan tanggungjawab itu adalah di tangan rakyat Malaysia,” kata Kit Siang. – Roketkini.com