Berita

Menjelang keputusan perbicaraan Anwar, DAP tekad terus perjuangan tuntut keadilan

PETALING JAYA, 9 FEB: DAP akan terus sokong perjuangan menuntut keadilan bersama dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Berucap hari ini dalam ceramah perdana “Rakyat Hakim Negara: menjelang hari keputusan perbicaraan Anwar Ibrahim, Kit Siang mengingatkan hadirin tentang prinsip perjuangan rakyat.

“Kita berjuang kerana kita arif hak kita sebagai rakyat, dan kita akan terus bangun untuk memperjuangkan hak kita.

“Ujian dihadapi Anwar ini juga adalah ujian kepada negara kita dan seluruh institusi negara,” ujar Kit Siang.

Di hadapan ribuan hadirin Kit Siang mengimbau kenangan perjuangannya bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu sejak hari pertama beliau dipecat dan difitnah.

“Saya bertanya Anwar pada hari kedua selepas pemecatan beliau, adakah semua fitnah itu berasas?

“Beliau menjawab semuanya adalah fitnah dan pembohongan semata.

“Mendengar itu, saya kata pada dia untuk lawan, dan saya akan sokong perjuangannya sampai menang. Sehingga hari ini, 17 tahun, perjuangan terus ditegakkan,” katanya penuh semangat.

Kit Siang juga menambah Anwar tidak patut masuk penjara kerana undang-undang yang waras menyatakannya begitu.

“Sudah empat kali Anwar dipenjarakan, kalau Najib berada di kedudukan Anwar adakah dia sanggup atau tidak masuk penjara?” soal beliau sambil disambut gelak ketawa hadirin yang membanjiri Padang Timur.

“Demi sebuah keadilan, kebebasan dan hak, Anwar tidak lari walaupun banyak tawaran. Anwar adalah seorang nasionalis tulen Malaysia,” ujar Kit Siang.

Dalam pada itu, Kit Siang juga menegaskan jika Anwar akan dipenjarakan seluruh rakyat akan turun membelanya.

“Esok dan seterusnya kita akan mobilisasikan rakyat untuk pembebasan Anwar Ibrahim.

“Kita akan terus komited dalam perjuangan merobohkan tirani Barisan Nasional.

“Kita tidak akan pernah menyerah!” Tegas Kit Siang, disambut dengan sorakan ‘reformasi’ hadirin. – Roketkini.com