Rencana

Surat terbuka kepada Ismail Sabri

Dengan segala rasa hormat, saya menulis surat ini bukan untuk mengajar atau mengkritik saudara – saya benar-benar percaya bahawa setiap orang berhak menyatakan pendirian, sambil menyedari akibat daripadanya. Ada satu pepatah lama Arab menyebut, “Keangkuhan mengaburkan kebijaksanaan.” Pemimpin seperti saudara tentunya perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas apa yang diucapkan. Saudara juga sudah tentu perlu memikul tanggungjawab di depan khalayak yang mendapat kesan buruk daripada kata-kata saudara.

Kita ketepikan dulu soal politik. Hari ini, saya menulis surat ini bukan sebagai seorang seteru politik, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia biasa yang melihat betapa patah semangat dan lelahnya sebahagian besar rakyat Malaysia yang sering dihujani dengan kebencian, kebimbangan dan pembohongan dalam negara ini.

Saya merasa kecewa yang bersangatan menyaksikan negara kita yang tercinta sedikit demi sedikit tersasar ke jalan yang bersungguh-sungguh hendak dihindari oleh para pengasas negara ini. Ketika menubuhkan Persekutuan ini, mereka mempunyai wawasan untuk melihat rakyat Malaysia hidup bersama dalam semangat muhibah dan kemakmuran.

Kini kita telah memasuki tahun 2015, hanya 5 tahun saja lagi dari Wawasan 2020. Mampukah kita mengatakan dengan yakin bahawa menjelang tahun itu kita benar-benar akan menjadi sebuah negara maju? Apakah kita merasa selesa untuk mengenepikan sifat perkauman untuk mencapai konsep Bangsa Malaysia yang gemilang? Apakah kita merasa mudah menerima perbezaan agama dan mencegah sebarang perasaan ketuanan keagamaan?

Majoriti rakyat Malaysia, khususnya Melayu/Bumiputera, masih terperangkap dalam jurang ekonomi yang melebar. Kita melihat sistem ekonomi negara ini dicemari oleh para kroni, elit dan kalangan yang suka mengambil kesempatan. Para pengasas negara ini telah membentuk sebuah sistem yang bertujuan memastikan golongan yang paling memerlukan mendapat bantuan, namun entah bagaimana dan sejak bila, sistem berkenaan disalahguna. Kini, golongan yang memerlukan bantuan terabai, terbiar dan dianggap tidak penting.

Ekonomi kita mundur dari kedudukannya pada dua dekad lalu. Malaysia pada suatu masa dikenali sebagai Harimau Asia yang sedang bangkit, namun salah-pengurusan dan salah-laku membuatkan kita terlepas peluang untuk mencapai kemakmuran yang sama seperti dikecapi Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sekarang. Pengangguran dalam negara kita berada pada kadar 2.07%, angka yang sama dan tidak berubah sejak tahun 2012 – begitulah lebih kurang yang diberitahu kepada kita, namun untuk sebuah negara yang mempunyai begitu banyak sumber dan peluang, tidakkah angka ini seharusnya mengecil?

Banyak ahli ekonomi menjangka tahun 2015 akan menjadi tahun yang mencabar secara fiskal bagi Malaysia. Kita berdepan tugas besar untuk menyiapkan diri bagi menghadapi keadaan terburuk, dan saya berani menggunakan perkataan ‘terburuk’ kerana masa depan yang suram menunggu kita. Pelaksanaan GST tidak diragui lagi akan memicu inflasi dan ini saja sudah cukup untuk menghasilkan kesan domino yang buruk. Setakat ini Malaysia masih terperangkap dalam kitaran pendapatan rendah. Menurut KWSP, sekitar 62% penyumbang bulanan menerima gaji kurang dari RM2,000 dan 96% di bawah RM6,000. Cita-cita untuk mencapai taraf negara berpendapatan tinggi seperti yang diharapkan Perdana Menteri masih amat jauh untuk dijangkau. Kebanyakan kita tidak mampu untuk membeli rumah dan ditimbus hutang kenderaan dan pengajian. Kebanyakan kita terpaksa berbelanja lebih dan membayar harga yang tinggi dalam keadaan gaji yang rendah.

Struktur yang wujud dalam negara ini nampaknya hanya memanfaatkan golongan berada dan kelompok yang dekat dengan segelintir elit. Hutang negara kita mencecah 55% dan hutang isi rumah naik ke kadar 87% – antara yang tertinggi di dunia. Kita masih ingin mengetahui kepentingan 1MDB dan apa yang telah terjadi kepada RM42 bilion yang sepatutnya menjadi milik semua kita dan bukan hanya golongan elit.

Keangkuhan adalah sifat yang tidak seharusnya ada pada seseorang pemimpin. Malah, sifat ini dikecam dalam Islam. Ayat 17:37 Quran menyebut: “Dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan lagak sombong. Sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak pula dapat menyamai ketinggian gunung-ganang.”

Sifat sederhana dan rendah hati adalah penting dalam kepimpinan. Pemimpin tidak sepatutnya terus-menerus mencemuh dan merendah-rendahkan rakyat yang sepatutnya dibantu. Pemimpin harus mempunyai nilai tulen seperti belas kasihan yang bererti tidak mementingkan diri dan berempati. Pemimpin biasanya adalah orang yang mempunyai kekuatan mental dan emosi yang mantap, baik hati, bertimbang-rasa dan menunjukkan keanggunan dalam berkomunikasi.

Bukan DAP, PKR, PAS, atau sesiapa saja yang berani bersuara menentang penindasan yang menampilkan wajah perkauman dan ketaksuban. Ia adalah cerminan daripada kebimbangan kelompok berhaluan kanan totok yang takut kehilangan kuasa dan pengaruh. Kata-kata saudara, menteri yang saya hormati, hanya mencerminkan prejudis yang disuntik ke dalam diri kelompok anda.

Masalah kita bukan peniaga Cina atau orang tengah berketurunan Cina. Masalah kita adalah sistem yang telah menggagalkan negara ini. Pemimpin sama sekali tidak harus memburuk-burukkan rakyatnya sendiri dan melaga-lagakan mereka. Pemimpin juga tidak sepatutnya mencetuskan api tidak puas hati dan memainkan perasaan hampa sesetengah yang mungkin dimiliki oleh sesetengah kelompok terpinggir. Sebahagian besar kita merasakan komen anda yang mensasarkan rakyat Malaysia berketurunan Cina sebagai sesuatu yang tidak wajar dan biadab.

Seseorang menteri perlu menghindari kata-kata yang menyakitkan dan sentiasa sedar bahawa kuasa yang besar datang bersama tanggungjawab yang juga besar. Tanggungjawab saudara ialah memimpin menerusi teladan, maka tolonglah berhenti menuduh dan memfitnah serta mulalah mencari jalan untuk keluar dari kekusutan.

* Syerleena Abdul Rashid adalah setiausaha Dapsy Bukit Bendera, pengarah pendidikan politik Wanita DAP Bukit Bendera dan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang.