Berita

Ubah rasa hampa menjadi tekad perjuangan – Guan Eng

PUTRAJAYA, 10 FEB: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara agar tidak berasa hampa dan bersedih dengan keputusan perbicaraan kes Fitnah 2 ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Guan Eng berkata, perasaan hampa dan kecewa itu sewajarnya diubah menjadi tekad yang kuat untuk meneruskan perjuangan menentang ketidakadilan akibat sistem kehakiman yang pincang.

“Ya.. Keputusan ini memang mengejutkan dan menghampakan. Tetapi perasaan hampa itu jangan tinggal hampa. Kita perlu ubah kepada tekad untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kebenaran.

“Kita kena teruskan perjuangan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu ketika ditemui Roketkini di perkarangan mahkamah, sejurus selepas keputusan kes Fitnah 2 dibacakan.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah turut mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan berbanding yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu supaya hukuman ditambah.

Ketika ditanya sama ada masa depan Pakatan Rakyat akan terjejas, Guan Eng berkata ia bergantung kepada kecekalan pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat sendiri.

“Pakatan Rakyat takkan hilang karisma. Walaupun Anwar di dalam penjara, ujian itu juga adalah kepada kita,” nyata beliau.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan keyakinan Anwar akan terus memainkan peranannya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, meskipun dari dalam penjara.

“Datuk Seri Anwar akan berjuang dari dalam. Maka, kita perlu meneruskan (di luar), agar perjuangannya lebih bermakna,” tambah Guan Eng sambil menegaskan hukuman penjara ke atas Anwar bukanlah penamat perjuangan.

“Kebenaran akan terbukti. Hanya masa yang akan menentukan,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com