Berita

Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bincang atur program penerangan

KUALA LMPUR, 11 FEB: Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat (PR) berbincang untuk mengatur program penerangan kepada rakyat, dan perkara itu akan dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

“Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yang bermesyuarat semalam membincangkan beberapa program penerangan kepada rakyat dan akan membentangkannya dalam Majlis Pimpinan akan datang yang akan dibuat pada petang Jumaat 13 Februari 2015.

“Mesyuarat kali ini akan dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Setiausaha Pakatan PR yang terdiri daripada Anthony Loke Siew Fook, Datuk Mustafa Ali dan Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, majlis tersebut menegaskan, Pakatan Rakyat tetap kukuh dan akan meneruskan perjuangan rakyat melawan kepincangan sistem dalam negara ini.

“Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan parti pembangkang paling kuat dalam sejarah Malaysia ini akan terus dipertahankan.

“Kami yakin sebarang perselisihan yang timbul akan segera diatasi demi kelangsungan perjuangan rakyat.

“Inilah masanya pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat merapatkan saf berdepan dengan cabaran semasa negara,” tambah kenyataan tersebut.

Mengulas keputusan perbicaraan ke Fitnah 2 keatas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, majlis tersebut menegaskan bahawa sistem perundangan di Malaysia hilang kredibilitinya.

“Kes ini akan menambahkan lagi senarai bukti kukuh segala jenis penganiayaan dan tekanan kepada pembangkang di Malaysia,” kenyataan tersebut dipetik. – Roketkini.com