Berita

Mesyuarat kabinet hari ini akan tentukan ‘kami semua Ismail Sabri’ atau tidak

GELANG PATAH, 10 FEB: Tidak ada sebarang tindakan dari Kabinet Najib terhadap kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Tani Datuk Ismail Sabri yang mengeluarkan kenyataan celupar mengatakan masyarakat Cina menindas orang Melayu di Malaysia.

Ketua Parlimen DAP Kit Siang berkata, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar turut mengambil sikap tidak ambil berat terhadap keceluparan Ismail Sabri kerana berkemungkinan adanya tekanan dari kabinet.

“Tiada tindakan terhadap keceluparan Ismail Sabri, bahkan kita dikejutkan apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata tak ada langsung menteri kabinet bersuara minta dia letak jawatan atas kenyataan itu,

“Walaupun, Polis sudah ambil keterangan dari Ismail, tapi kita tertanya-tanya kenapa Khalid buang masa siasat Ismail apabila kabinet putuskan Ismail tak bersalah,”sindir Kit Siang.

Justeru itu, Kit Siang menggesa mesyuarat kedua Kabinet Najib menyatakan pendirian tegas terhadap Ismail Sabri yang dilihat cuba mengapi-apikan permusuhan antara warga Malaysia.

“Esok (hari ini) adalah peluang terakhir Kabinet Najib untuk memperlihatkan kepada kita apakah “Mereka Semua Ismail Sabri” atau pun bukan.

“Mereka harus isytihar selepas mesyuarat esok dengan jelas bahawa Kabinet tidak akan pertahankan tindakan Ismail Sabri dengan mengisytiharkan satu kenyataan “Kami Semua Bukan Ismail Sabri”

“Kabinet juga harus berikrar tidak akan mengganggu siasatan polis dan Ketua Peguam Negara untuk mendakwa Ismail Sabri,”tegas Kit Siang lagi. – Roketkini.com