Berita

Penjarakan Anwar, demokrasi Malaysia semakin cacat – Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu tamparan kepada kebebasan sistem kehakiman negara, kata Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Dalam satu kenyataan semalam, Bersih 2.0 menegaskan sistem kehakiman negara jelas semakin parah apabila pihak yang bertanggungjawab menerima hujah yang langsung tidak kukuh dan tidak menghiraukan kelemahan serius dalam kes.

“Dari awal lagi, ia jelas merupakan perbicaraan politik dan keputusannya mengukuhkan lagi hakikat itu.

“Hukuman penjara lima tahun dikenakan kepada Anwar mengakhiri kerjaya politik seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri kita sekiranya pilihanraya di negara ini bebas dan adil,” kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dipetik.

Berikutan keputusan tidak adil yang dijatuhkan terhadap Anwar itu, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 turut memohon seluruh rakyat agar bertindak balas secara rasional dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi awam terutama badan kehakiman negara.

“Seminggu selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar pada tahun 2012, Ketua Hakim Negara sendiri telah menyeru supaya kebebasan kehakiman ditegakkan.

“Kami tertanya-tanya sama ada beliau percaya kata-kata sendiri tatkala menyampaikan keputusan mahkamah?

“Kes ini terbukti adalah penganiayaan politik, yang sekaligus memperlihatkan betapa cacatnya demokrasi negara ini,” tegas Bersih 2.0.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dianggotai oleh Pengerusi Maria Chin Abdullah, Timbalan Pengerusi Sarajun Hoda Abdul Hassan, Bendahari Masjaliza Hamzah dan beberapa wakil kebangsaan lainnya. -Roketkini.com