Berita

Bernama TV masih gagal bayar gaji pekerja, apa tindakan kerajaan?

KULAI, 12 FEB: Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja seolah-olah merestui Bernama TV yang gagal membayar gaji pekerjanya, selain membiarkan syarikat itu menimbunkan hutang yang akhirnya terpaksa dilangsaikan kerajaan.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa kedua agensi itu memberitahu tindakan yang akan diambil terhadap pengurusan syarikat tersebut.

Menurut Nie Ching, Bernama diberi 33 peratus saham sebagai balasan ke atas hak penyiaran eksklusif BRTV mengendalikan dan menguruskan Bernama TV.

Di bawah perjanjian tersebut, Bernama menyewakan semua peralatan termasuk studio dan ruang pejabat untuk BRTV.

“Walau bagaimanapun seperti banyak idea lain, cadangan itu akhirnya tidak berjalan seperti dirancang.

“Menjelang pertengahan 2009, BRTV berhutang kepada Bernama sejumlah RM18 juta, terutamanya melibatkan sewaan peralatan, ruang pejabat dan kos kakitangan penyumberan luar,” kata Nie Ching.

Bernama TV dimiliki Bernama TV Synergy Sdn Bhd (BRTV) yang ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran 24 jam di saluran Astro 502.

Pemegang sahamnya terdiri daripada Bernama Berhad (33%), Silver Ridge Multimedia Sdn Bhd (30%) Standard Code Sdn Bhd (30%) dan Hallmax Entertainment Sdn Bhd (7%).

Bernama menyumberluarkan kakitangan audio visualnya untuk meneruskan operasi TV baru, dan dengan ini Bernama menjana pendapatan daripada peralatannya yang terbiar tanpa perlu memberhentikan kakitangan.

Bernama membiayai operasi BRTV melalui pembiayaan RM1 juta sebulan dalam bentuk gaji, kira-kira RM4 juta untuk studio baru, menaiktaraf peralatan pada 2013, meminjamkan kira-kira 25 kakitangan ke BRTV (digajikan Bernama), bayaran utiliti seperti perjalanan, sewa peralatan dan lain-lain.

“Kita perlu tahu, Bernama memiliki 33 peratus saham, namun apa sumbangan pemegang saham atau pihak lain?

“Mengapa kelihatan hanya Bernama satu-satunya pihak yang menyumbang dana kepada BRTV?

“Saya bersetuju kepentingan dan kebajikan kakitangan BRTV dipelihara dan mereka berhak mendapatkan gaji mereka tanpa kelewatan.

“Masalahnya, Bernama kini mendapatkan pula bantuan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi meyelesaikan krisis gaji yang dihadapi pekerja Bernama TV.

“Secara asasnya, BRTV beroperasi dari dana yang dibayar oleh pembayar cukai.

“30 pekerja Bernama telah membuat laporan kepada Jabatan Buruh 10 Disember lalu.

“Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Buruh perlu menjelaskan tindakan terhadap pengarah dan pemegang saham BRTV, termasuk Senator BN Mohd Suhaimi Abdullah yang juga Ketua Bahagian UMNO Gunung Jerai,” kata Nie Ching. – Roketkini.com