Berita

DAP kutuk pembunuhan tiga mahasiswa Muslim di Amerika Syarikat

SERDANG, 12 FEB: DAP mengutuk pembunuhan tiga mahasiswa Muslim yang dibunuh di North Carolina, Amerika Syarikat, dipercayai bermotifkan kebencian pada 11 Februari lalu.

Deah Barakat, 23, Yusor Mohammad, 21, dan Razan Mohammad Abu Salha,19, telah ditembak mati oleh suspek Craig Stephen yang berusia 46 tahun di Chapel Hill, North Carolina. Suspek kini ditahan polis di atas tuduhan pembunuhan dengan niat.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mengutuk jenayah terbaru itu di samping melahirkan rasa sedihnya kerana ketiga-tiga mereka adalah pelajar universiti yang cemerlang dan mempunyai masa depan yang cerah.

“Kita tak dapat tolak kemungkinan ini adalah jenayah dengan bermotifkan kebencian terhadap tiga orang pelajar Muslim oleh seorang ateis yang mempunyai pandangan serong terhadap semua agama.

“Semua jenayah dengan asas kebencian tidak boleh diterima dan wajib dikutuk sekeras-kerasnya,” ujar Kian Ming.

Dalam pada itu, Kian Ming menyatakan rasa terkilannya atas pemergian tiga pelajar Muslim yang sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan.

“Deah dan Yusor yang berkahwin pada Disember 2014 banyak terlibat dalam kerja-kerja bantuan pergigian di Turki dan Timur Tengah. Razan pula aktif dengan badan Islamic Relief USA, sebuah NGO yang banyak menghulur bantuan kepada rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

“Saya pernah tinggal di North Carolina ketika selesaikan PHD, ia adalah satu kejiranan aman dan selamat yang banyak didiami pelajar, profesor dan staf universiti. Penduduk di kejiranan itu pasti terkejut dengan pembunuhan tragik ini,” ujar beliau.

Ekoran pembunuhan tiga orang pelajarnya, Universiti North Carolina telah menganjurkan sebuah perhimpunan nyalaan lilin bagi memperingati ketiga-tiga mangsa.

“Sangat menenangkan hati, bila kita melihat ramai orang tidak kira agama, kaum dan latar belakang bersama mengutuk jenayah itu. Semangat kebersamaan ini harus jadi inspirasi kepada kita semua,” tambah beliau lagi. -Roketkini.com